Selesa Dengan Budaya Orang Melayu - Berita Semasa | mStar

Selesa Dengan Budaya Orang Melayu

Diterbitkan: Ahad, 12 November 2017 9:19 AM

Tidak pernah merasa kekok berada dalam kumpulan berbeza, Lin Gesh (kanan) bersama rakan-rakan meraikan persandingan rakan dalam satu majlis perkahwinan.

(Ubah saiz teks)

‘SAMBAL Hitam’ makanan tradisi daerah Raub, Pahang, cukup sinonim dikaitkan dengan masyarakat Melayu namun ia menjadi antara hidangan kegemaran seorang pemuda berbangsa India sekali gus menunjukkan dia mempunyai ciri-ciri kemelayuan.

K. Lingaeeh, 24, yang lebih mesra dipanggil Lin Gesh berkata, makanan itu menjadi antara hidangan utamanya setiap kali menjamu selera.

Menurutnya, pendek kata segala berkaitan dengan orang Melayu daripada jenis makanan, aktiviti harian, sukan dan banyak lagi sudah sebati dalam hidupnya kerana pergaulan tiada batas dengan masyarakat itu sejak berada di bangku sekolah.

Dia yang fasih berbahasa Melayu dan turut menggunakan slanga Raub ketika berbual mengakui pergaulan luas di kalangan rakan-rakan berbangsa Melayu menyebabkan dia turut berkebolehan bercakap mengikut dialek itu.

Gemar makanan Melayu

Dalam pada itu, menurutnya, persahabatan dan pergaulannya bersama rakan-rakan berbangsa Melayu tidak sekadar berjumpa dan bermesra sahaja malah turut menjalankan perniagaan bersama.

“Pernah satu ketika dahulu selepas tamat sekolah, kira-kira setahun saya bantu rakan-rakan menjual kambing golek sama ada untuk kenduri kesyukuran atau sebarang majlis keraian.

“Saya gembira mengikut mereka meniaga dan tak ada sebarang masalah walaupun saya berlainan agama dan kaum dengan mereka.

“Rata-rata pelanggan kami adalah kaum Melayu ternyata mereka juga tidak keberatan malah berbangga melibat saya turut bersama-sama menjual kambing golek tersebut,” katanya.

Bersama rakannya menjual kambing golek untuk satu majlis keraian di Raub.

Tambahnya lagi, yang bekerja di sebuah syarikat swasta dan lahir di Klang itu, mengakui dia tidak berselera makan jika tidak makan masakan Melayu dalam sehari.

Kerana itulah juga, dia kerap meminta ibunya memasak masakan Melayu seperti sambal ikan bilis, asam pedas dan sebagainya.

Cubaan berpuasa berjaya

Menurut Lin Gesh lagi, dia pernah berjaya berpuasa seperti orang Islam lain selama lapan hari dua tahun lalu dan berpeluang bersama rakan-rakan lain menunggu waktu berbuka puasa sekali gus menyifatkan cubaannya itu merupakan satu momen unik buatnya.

“Memang dalam agama Hindu ada juga berpuasa tetapi berbeza dengan agama Islam. Saya akui memang mencabar menahan lapar dan dahaga tetapi saya berjaya mengharunginya walaupun hanya lapan hari.

“Tahun ini saya tidak dapat berpuasa lagi kerana tuntutan kerjaya yang sedikit berat tetapi saya akan cuba lagi kalau ada peluang,” katanya.

Ditanya juadah kegemarannya ketika Ramadan, dia mengakui wajib membeli kuih koci dan tepung pelita setiap kali berkunjung ke bazar.

“Setiap kali Ramadan, saya akan cuba untuk tidak makan di depan mereka kerana menghormati rakan-rakan yang sedang berpuasa.

Segak mengenakan baju Melayu.

“Ada yang pernah suruh saya membeli makanan tetapi saya akan kata tidak kepada mereka yang ponteng berpuasa,” katanya merupakan anak sulung daripada empat beradik itu.

Hormati persahabatan

Sementara itu, katanya, dia menghormati rakan-rakan Melayu tidak kira sama ada dalam kepercayaan, agama dan komunikasi.

“Ketika bersama rakan-rakan Melayu kita tidak pernah mengaitkan isu-isu sensitif hingga boleh menimbulkan kemarahan.

“Ini adalah perkara penting dalam pergaulan dan persahabatan, kita perlu menghormati termasuk dari segi solat dan puasa, jika mereka bersolat saya persilakan mereka dan jika mereka sedang berpuasa kita tidak ganggu ibadat mereka.

“Atas sebab itu, saya dan rakan-rakan berbangsa Melayu boleh duduk semeja dan makan bersama, malah kami boleh beraktiviti bersama termasuk pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium dan sokong pasukan Pahang bersama-sama... ketika berada di stadium rasanya saya sahaja kaum India di situ,” katanya. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: budaya Melayu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan