Sedap, Kenyang Walau RM1 - Berita Semasa | mStar

Sedap, Kenyang Walau RM1

Diterbitkan: Jumaat, 10 November 2017 11:36 AM

(Ubah saiz teks)

MANA ada makanan sedap harga RM1 sekarang?

Siapa cakap tak ada sebab di Kluang, Johor, sebuah restoran hanya mengenakan harga seringgit (RM1) sahaja untuk makanan yang dijualnya.

Pemiliknya, Rohaizal Shamsuddin atau lebih mesra dikenali Ezal Laksamana memberitahu restorannya  ini telah beroperasi sejak November tahun lalu.

"Kira bulan ni genap setahunlah kami berniaga makanan. Tujuan utama restoran ini sebenarnya untuk merapatkan hubungan keluarga saya.

"Saya ingin melihat semua ahli keluarga saya bekerja dalam satu tempat, dan ia menyenangkan hati saya.

"Sebelum ini saya berada jauh dari keluarga dan berulang-alik dari Perlis ke Kluang. Jadi habis sahaja belajar saya buka mini restoran ini.

"Walaupun bidang yang saya pelajari dahulu langsung tiada kaitan dengan makanan, tetapi minat berniaga tu lebih besar," ujarnya yang berusia 27 tahun.

Ezal (kiri) bersama keluarga menguruskan Restoran RM1.

Jelas Ezal, walaupun harga makanan yang disediakan hanya RM1, kualitinya diutamakan.

"Saya berasa puas kerana dapat berkongsi makanan yang sedap dengan harga minimum.

"Orang selalu tanya, dapat untung ke tidak dengan harga bahan mentah yang mahal di pasaran sekarang. Ia tidak menjadi masalah kerana saya bukan mengejar untung berlipat-ganda.

"Sebab itulah konsepnya seringgit. Kalau tidak ada untung, sudah tentu kami tidak akan bertahan sehingga sekarang.

"Saya bersyukur, setiap hari hampir 500-600 orang datang makan di kedai kami. Berdasarkan maklum balas pelanggan, mereka berpuas hati dengan makanan yang kami jual seperti laksa Johor, laksa Kedah, mee soto, mee bandung dan sebagainya. Semuanya hanya RM1 semangkuk.

"Kecuali harga sepinggan nasi campur pada waktu tengah hari sekitar RM3-4 untuk tiga jenis lauk. Tetapi setiap lauk tetap seringgit," ujar anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini.


Tambah Ezal, apa yang lebih istimewa makanan di kedainya ini adalah air tangan ibunya, Rosnah Puteh.

"Ibulah 'chef' kedai ini. Dia memang seorang tukang masak sebelum ini. Jadi tidak ada masalah untuk menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak.

"Setiap pagi kami mula berniaga pukul 6 pagi sehingga 4 petang. Kami hanya tutup selama tiga hari setiap hujung bulan," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: Kedai Makan RM1
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan