“Nak Sangat Belajar Sebab Khairul Tak Pandai” - Berita Semasa | mStar

“Nak Sangat Belajar Sebab Khairul Tak Pandai”

Diterbitkan: Khamis, 9 November 2017 1:26 PM

Biarpun seorang pemalu, tetapi Khairul berani untuk ingin tahu dan mempelajari sesuatu.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suara kanak-kanak ini kedengaran begitu ceria saat ditanya mengenai kelas pembelajaran yang bakal didudukinya tidak lama lagi.

Anak kecil ini sudah boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi 'curi-curi' masuk ke sebuah sekolah berdekatan dengan rumahnya di Gombak, Selangor.

Muhammad Khairul Nizam Azman, 9, ketika dihubungi mStar Online berkata, dia tidak sabar dan sentiasa menghitung hari untuk menyertai kelas membaca dan menulis pada akhir bulan ini, yang menjadi hari istimewa dan bersejarah buat dirinya.

"Khairul memang nak sangat pergi sekolah, nak belajar... sebab Khairul tak pandai.

"Tapi Khairul boleh kira 1 sampai 10, dengar daripada kawan-kawan. ABC pun tahu... tapi sampai D saja.

"Nanti bila dah belajar, bolehlah Khairul membaca, mengeja dan menulis," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Khairul (tengah) bersama dua adik-beradiknya.

Kisah Khairul sebelum ini tular apabila berpakaian sekolah lusuh yang disedekah jiran dan hanya berselipar menyelinap masuk ke sebuah sekolah untuk merasai pengalaman belajar, tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Bapa Khairul memberitahu, pada awalnya dia amat terkejut dengan tindakan Khairul tetapi faham tentang semangat anaknya untuk belajar.

Namun Azman Ahmad, 42, terpaksa akur dengan nasib Khairul yang tidak mempunyai surat beranak selain dia sendiri tidak berkemampuan menyebabkan Khairul tidak didaftarkan untuk belajar di sekolah.

"Saya sekeluarga hidup susah. Kerja saya ikut kontrak. Kalau ada, adalah duit, kalau dah habis kontrak, cukup-cukup makan. Jadi, bukan saya sengaja tak nak hantar anak-anak ke sekolah," katanya.

Khairul bersama abang dan adiknya bakal menyertai program intensif membaca dan menulis di Akademi I-Sina di Gombak.

Tambah Azman, dia kini berusaha mendapatkan sijil kelahiran untuk Khairul dan anak sulungnya, Muhammad Asmadi, 10, dengan bantuan pihak berkuasa dan beberapa individu termasuk Mohd Fadli Salleh, seorang guru yang berkongsi mengenai kisah anaknya sehingga menarik perhatian ramai.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan Persatuan Kebajikan Projek Iqra’ Semalaysia (Projek Iqra’) menawarkan bantuan untuk memberi peluang pembelajaran kepada Khairul dan Asmadi termasuk adik mereka, Nur Shahadah, 6, sementara menunggu peluang belajar di sekolah kebangsaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana Teringin Khairul 'Curi-Curi' Masuk

Mengenai Khairul, Azman menyifatkan anak keduanya itu merupakan seorang yang begitu rajin untuk mempelajari sesuatu berdasarkan persekitarannya.

Persekitaran dalam kelas membaca dan menulis.

Dengan hanya berbekalkan pensil dan pensil warna yang ditinggalkan anak pemilik kepada rumah yang disewanya, Khairul sering membuat lakaran dan cuba menulis sesuatu di atas surat atau kertas terpakai meskipun tidak pandai mengeja.

"Saya sendiri pun buta huruf, macam mana nak ajar anak-anak membaca dan menulis. Tapi Khairul pernah beritahu saya, bila dia dah pandai belajar nanti, dia nak ajar saya pula.

"Saya nak mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga terutama memberi peluang kepada anak-anak untuk belajar. Saya akan ingat jasa semua sampai bila-bila," katanya dengan nada sebak.

Bermula 27 November sehingga 22 Disember depan, tiga beradik ini bakal menyertai program intensif membaca dan menulis di Akademi I-Sina di Gombak, yang hanya terletak kira-kira 200 meter dari sekolah di mana Khairul ‘curi-curi’ masuk untuk merasai pengalaman belajar.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan