RM150 Juta Untuk Projek Banjir Di Pulau Pinang - Berita Semasa | mStar

RM150 Juta Untuk Projek Banjir Di Pulau Pinang

Diterbitkan: Rabu, 8 November 2017 10:03 AM

(Ubah saiz teks)

TASIK GELUGOR: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi menjalankan projek tebatan banjir di Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan bagi 13 projek bernilai RM1 bilion yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri itu.

"Melihat kepada apa yang terlah berlaku, kita akan menambah peruntukan.

"Tapi jumlah sebenar bergantung kepada perbincangan susulan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri," ujar Najib sewaktu lawatan ke Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan di Nyior Sebatang, di sini.

Tambahnya lagi, perbincangan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang akan diadakan bagi mengenal pasti cara untuk melaksanakan projek tebatan banjir.

Menurutnya, projek itu akan dijalankan secara berperingkat dan akan siap dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, keselamatan dan kebajikan rakyat menjadi keutamaan pihaknya.

Dalam pada itu, hampir seluruh Pulau Pinang ditenggelami air sedalam 0.2 hingga 1 meter gara-gara hujan lebat sejak Sabtu lalu.

Bencana yang melanda turut mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya tujuh orang mangsa.

"Ianya sangat luar biasa. Sebulan setengah hujan berlaku dalam satu hari. Ditambah pula dengan angin kuat.

"Angin bergerak dengan kelajuan 40 kilometer sejam sehingga feri pun terangkat ke daratan.

"Satu lagi faktor ialah air yang datang dari Kedah. Tiga faktor ini berlaku serentak," ujar Najib.

Jelas Najib, beliau yang menemui mangsa mendedahkan mereka semua tertekan dengan apa yang berlaku.

"Kita akan lihat bagaimana untuk membantu mereka. Kita pun tidak tahu bila banjir akan berakhir sebab ramalan menyatakan akan ada gelombang kedua atau ketiga.

"Jadi kita tunggu sehingga semuanya berkahir dan kita akan menyiasat semua kerugian," ujarnya.

Mengulas mengenai gesaan badan bukan kerajaan (NGO) supaya projek lereng bukit di negeri itu diteliti semula, Najib berkata, mereka yang terlibat perlu mengikut peraturan bagi mengelak impak negatif terhadap alam sekitar.

Ditanya sama ada Malaysia bersedia menghadapi perubahan iklim, beliau menyatakan perkara itu merupakan fenomen global.

"Semua negara akan berhadapan dengan cabaran ini. Amerika Syarikat pun dilanda taufan dan kemusnahannya sangat teruk. Padahal mereka negara maju.Ujarnya lagi, pemaju sepatutnya melihat impak negatif yang akan berlaku kepada alam sekitar dan bukan  memikirkan soal keuntungan semata-mata.

Tambah beliau lagi, beberapa syarikat seperti Khazanah, Pharmaniaga, UEM dan Axiata akan bekerjasama bagi menyalur bantuan kepada mangsa banjir."NGO seperti Mercy Malaysia, Kelab Putra 1Malaysia dan 1M4U juga akan membantu mangsa banjir.

"Bantuan ini melibatkan pelbagai agensi di peringkat negeri dan persekutuan.

"Mereka sudahpun bertugas untuk membantu mangsa sewaktu pemindahan serta proses pengagihan makanan dan kelengkapan asas.Najib berada di Seberang Perai sewaktu beliau diberi penerangan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus mengenai situasi banjir dan tindakan susulan yang akan dijalankan.

Dalam pada itu, Najib turut melawat mangsa banjir di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pauh.

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia turut mengumumkan agihan sebanyak RM110,000 kepada mangsa banjir.

Beliau mengagihkan RM50,000 kepada pegawai pembangunan Pulau Pinang, Datuk Syed Shaari Syed Abdullah dan RM60,000 kepada pengarah Majlis Keselamatan Nasional Pulau Pinang, Daud Abdullah.

Turut menyertai lawatan itu ialah presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Kong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng, Ahli Exco Eegeri, Phee Boon Poh dan ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk jahara Hamid.

Tags / Kata Kunci: Dana Banjir , Pulau Pinang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan