Banjir P.P: Dua Lagi Warga Emas Maut

Diterbitkan: Ahad, 5 November 2017 6:19 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Dua lagi warga emas iaitu seorang lelaki dan wanita ditemui mati di rumah mereka di Jelutong dan Air Itam, di sini dipercayai lemas dalam kejadian banjir di negeri ini, Ahad.

Perkembangan terbaru ini menjadikan mangsa setakat Ahad petang meningkat kepada empat orang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penemuan mayat seorang wanita, Lau Guek Jee, 64, di rumahnya di Lilitan Hargreaves, Jelutong di sini kira-kira 11 tengah hari.

Katanya menurut maklumat awal, mangsa dipercayai tinggal di rumah itu bersama keluarganya, namun semasa kejadian mangsa tinggal berseorangan.

"Dipercayai mangsa gagal menyelamatkan diri ketika berlaku banjir di kawasan rumahnya dan mayatnya dijumpai jiran wanita berkenaan," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata mayat kedua iaitu seorang lelaki, Chong Sin Thon, 97, ditemui dalam rumahnya di Jalan Shaik Madar, Air Itam di sini kira-kira 1 tengah hari.

Anuar berkata lelaki warga emas itu tinggal bersendirian di rumah itu dan mayatnya ditemui oleh jirannya yang datang ke kediamannya untuk melihat keadaan mangsa.

"Saya menasihatkan orang ramai agar terus menghubungi pihak polis atau bomba jika rumah mereka dinaiki air supaya kami dapat memindahkan mereka ke kawasan yang selamat," katanya.

Sebelum ini, dua mayat warga emas iaitu Amanullah Shabib Kalandir, 75, dan Chew Eng Lean, 78, ditemui di rumah masing-masing di Jalan P. Ramlee dan Jalan Perak, di sini pagi ini dipercayai lemas selepas gagal menyelamatkan diri.

Sementara itu, 3,365 mangsa banjir di Pulau Pinang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara banjir di lima daerah di negeri ini sehingga 5 petang ini.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata ketika ini kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,974 di 25 buah pemindahan di daerah berkenaan.

"Jumlah mangsa banjir di daerah Seberang Perai Utara (SPU) ialah seramai 829 orang, Seberang Perai Selatan (25), Barat Daya (290) dan Timur Laut masih terdapat 247 mangsa. Ketika ini, sebanyak 12 pusat pemindahan sementara banjir masih dibuka di empat daerah berkenaan dan keadaan terkawal," katanya.

Beliau berkata hanya daerah SPS air semakin naik di beberapa kawasan berikutan hujan lebat manakala empat daerah lain air mula surut walaupun cuaca mendung.

Hampir keseluruhan kawasan Pulau Pinang dilanda banjir kilat setinggi 0.2 meter hingga 1 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat sejak 2 petang semalam dan hujan berlarutan hingga pukul 5 pagi ini.

Semua daerah di negeri ini ditenggelami air berikutan hujan lebat berterusan serta paras air sungai yang tinggi bertembung dengan fenomena air pasang di laut menyebabkan limpahan air berlaku dengan cepat.-- Bernama    



Tags / Kata Kunci: Jelutong , Anuar Omar

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan