Kegigihan Wan Azizah Berbaloi

Diterbitkan: Ahad, 29 Oktober 2017 12:12 PM

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Tiada rezeki datang bergolek tanpa diiringi usaha gigih dan pengorbanan.

Atas kepercayaan itulah, usahawan pemprosesan ayam Wan Azizah Wan Salleh, 45, mengorak langkah mengubah kehidupannya sekeluarga walaupun berdepan pelbagai cabaran hingga kini muncul jutawan.

Wanita itu yang lebih mesra dipanggil Kak Zah berkata pendapatan sebagai petani yang tidak seberapa menyebabkan dia dan suami Mat Yazid Jusoh, 49, memikirkan jalan lain untuk menambah pendapatan.

"Ketika itu kami dan tiga anak tinggal di sebuah rumah dengan sewa RM70 sebulan. Hidup kami memang susah. Pelbagai cara kami fikirkan untuk menambah pendapatan sehinggalah mendapat idea untuk memelihara ayam di belakang rumah dan menjualnya secara kecil-kecilan dengan menjaja ke kampung-kampung.

"Jualan pertama kami bermula dengan lima ekor ayam saja. Bagaimanapun permintaan semakin bertambah dari semasa ke semasa dan kami berdepan kekangan modal.

"Alhamdulillah ketika itulah saya diperkenalkan dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) oleh seorang sahabat," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Kampung Banir Belikong, Selising di Pasir Puteh, Ahad.

Kejayaan Wan Azizah - seorang peminjam atau sahabat AIM - menjadi jutawan dengan dana pinjaman kerajaan diraikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018, di Dewan Rakyat Jumaat lalu.

Perdana menteri berkata usahawan itu berjaya menjadi jutawan dalam bidang ternakan dan pemprosesan ayam dengan modal permulaan RM500 daripada AIM pada 1993.

Wan Azizah berkata bermula dengan pinjaman pertama itu dia menambah jumlah ayam peliharaan kepada hampir 100 ekor.

Bermula dari situlah dia dan suaminya mula membuka gerai kecil di tepi jalan berdekatan rumah mereka.

"Saya turut membantu suami menyiang ayam walaupun langsung tidak mempunyai pengalaman, hingga luka-luka jari dan tangan. Apabila memikirkan perkara itu kadang-kadang rasa sebak.

"Namun semua itu tidak pernah mematahkan semangat saya apatah lagi Allah SWT mengurniakan rezeki yang lebih baik kepada kami saban hari," katanya.

Menurut Wan Azizah berikutan permintaan yang semakin meningkat mereka mula mendapatkan bekalan ayam daripada ladang dengan membuat beberapa kali pinjaman daripada AIM hingga mencecah RM50,000.

Berbekalkan modal tersebut, Wan Azizah membina sebuah kedai yang lebih besar dengan nama ’Ziza Ayam Proses’ di kawasan sama dan mula menggaji tiga pekerja bagi membantu menyiang dan menghantar bekalan kepada pelanggan, pemilik restoran atau permintaan untuk kenduri.

"Syukur alhamdulillah selepas lebih 20 tahun berniaga kini saya memiliki sembilan pekerja dengan purata jualan ayam 900 ekor sehari," katanya.

Dengan hasil perniagaan tersebut juga dia berjaya membina sebuah rumah sendiri yang selesa untuk didiami bersama enam anaknya.

Wan Azizah turut mempelbagaikan jualan kepada barangan basah dan keperluan harian lain dengan membina sebuah kedai runcit bersebelahan kedai memproses ayamnya.

"Bukan mudah untuk saya sampai ke tahap ini kerana kami bermula daripada tiada apa-apa. Tanpa kecekalan yang tinggi kita mungkin boleh berputus asa terutama bila berdepan dengan masalah kewangan, kerenah pelanggan dan risiko hutang daripada segelintir pemborong," katanya yang pernah menerima anugerah Usahawan Berjaya AIM Peringkat Nasional pada 2007.

Dia sangat teruja apabila namanya diangkat dan disebut sebagai usahawan AIM contoh oleh perdana menteri sempena pembentangan Bajet 2018.

Wan Azizah bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan khususnya AIM yang membantunya keluar daripada cengkaman kemiskinan.

"Ia adalah penghargaan istimewa kepada saya dan suami selain menguatkan lagi semangat kami untuk terus cekal dalam perniagaan," katanya.

Dalam pada itu katanya perkhidmatan pinjaman AIM memberi manfaat yang besar kepada mereka yang ingin memajukan diri.

"Adalah manjadi satu kerugian jika peluang sebegini tidak direbut dan dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.- Bernama


Tags / Kata Kunci: Wan Azizah , AIM

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan