Jangan Terpengaruh Pendidikan Percuma - Berita Semasa | mStar

Jangan Terpengaruh Pendidikan Percuma

Diterbitkan: Ahad, 29 Oktober 2017 7:26 PM

Idris Jusoh.

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Rakyat dinasihatkan tidak terpengaruh dengan janji pembangkang untuk melaksanakan pendidikan percuma di negara ini kerana tawaran itu tidak praktikal dan sukar untuk dilaksanakan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pembangkang yang sudah lama mencanangkan pendidikan percuma tersebut sepatutnya melaksanakannya di Selangor melalui Universiti Selangor (Unisel) yang dimiliki kerajaan negeri itu.

"Saya cabar mereka buat dulu pendidikan percuma di Unisel," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan pelancaran Makmal Data Raya seluruh sistem UiTM di sini, Ahad.

Idris berkata, Kerajaan Persekutuan tidak mengenakan yuran yang tinggi kepada para pelajar dan menjadikannya antara yuran yang terendah di Asia.

"Ini kerana kadar yuran akademik semasa yang dikenakan oleh universiti awam (UA) ditampung dengan subsidi oleh kerajaan lebih 90 peratus," katanya.

Beliau berkata, kerajaan membantu lagi para pelajar dengan memberi pelbagai kemudahan pinjaman pengajian seperti dari PTPTN, pembiayaan biasiswa atau tajaan dari pelbagai pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas, antaranya memperuntukan biasiswa sebanyak RM2.2 bilion bagi memartabatkan pendidikan tinggi. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan