Kerjasama Dengan Agensi Naik Taraf Pusat Tahfiz - Berita Semasa | mStar

Kerjasama Dengan Agensi Naik Taraf Pusat Tahfiz

Diterbitkan: Rabu, 25 Oktober 2017 3:23 PM

Kerajaan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menaik taraf keselamatan kebakaran pada bangunan pusat tahfiz di seluruh negara. - Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan boleh bekerjasama dengan beberapa agensi untuk menaik taraf sekolah tahfiz dan bukannya menyalurkan secara terus peruntukan tunai RM30 juta ke sekolah-sekolah tersebut, kata Tan Sri Noh Omar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, kaedah yang dicadangkan untuk menggunakan peruntukan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet yang akan datang.

"Kerajaan telah memberi bantuan kepada sekolah tahfiz sebelum ini, tetapi mungkin wang tunai yang diberikan kepada mereka digunakan untuk membayar gaji, tumpuan kepada bangunan dan keselamatan kebakaran menjadi kecil.

"Kali ini kita mungkin mahu bekerjasama dengan Giatmara, kolej komuniti atau agensi dan kumpulan lain untuk menampung lapan keperluan keselamatan mengikut peruntukan yang ada," katanya ketika menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR - Petaling Jaya Selatan) di Parlimen pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan peruntukan bernilai RM30 juta untuk menaik taraf infrastruktur sekolah tahfiz swasta di seluruh negara.

Noh menjelaskan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) telah meneliti lapan elemen keselamatan semasa melakukan pemeriksaan ke atas 1,238 sekolah tahfiz di seluruh negara yang dilakukan antara 26 September hingga 17 Oktober tahun ini.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 97 peratus mempunyai pintu keluar yang mencukupi, 93 peratus memiliki pintu masuk yang luas untuk jentera Bomba, 82 peratus mempunyai pendawaian yang betul, 74 peratus mempunyai pemadam api, 64 peratus mempunyai dapur berasingan, 51 peratus mempunyai tangga kecemasan yang mencukupi dan 73 peratus kemudahan bekalan seperti hydrants kebakaran.

"Bagaimanapun, hanya 9 peratus yang mempunyai alat pengesan asap iaitu unsur yang sangat penting untuk keselamatan bangunan," katanya.

Tags / Kata Kunci: pusat tahfiz
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan