Tempatkan Pekerja Asing Di Kuarters Guru Langgar Polisi Kementerian

Diterbitkan: Rabu, 25 Oktober 2017 9:18 PM

Kuarters guru di Klian Intan, didakwa didiami warga asing Bangladesh sejak sekian lama. foto Facebook

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Kementerian Pendidikan akan menyerahkan kepada Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset untuk meneliti dan mengambil sebarang tindakan terhadap sebuah syarikat yang menempatkan warga asing di bangunan yang sepatutnya dikhaskan untuk kakitangan pendidikan di Klian Intan, Pengkalan Hulu, Gerik, Perak.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian telah menjalankan siasatan berhubung kes itu dan syarikat berkenaan iaitu Jasa Timah Intan Sdn Bhd didapati telah melanggar syarat penyewaan kuarters berkenaan dengan menjadikannya sebagai kediaman pekerja asing.

“Untuk kuarters guru yang telah lama, baik berada di dalam mahupun di luar kawasan sekolah, mengikut polisi kementerian ia dibenarkan disewakan kepada pihak swasta mahupun perseorangan dengan syarat tidak boleh menempatkan warga asing.

“Dalam kes Kuarters Rumah Guru (KRG) SK Kelian Intan, kementerian telah meluluskan penyewaan kepada syarikat berkenaan setelah dimaklumkan bahawa ia akan digunakan untuk penginapan kepada pekerja syarikat itu.

“Bagaimanapun syarikat itu tidak memaklumkan secara khusus bahawa pekerjanya adalah pekerja asing dan sudah tentu perkara ini tidak dibenarkan kerana ia bertentangan dengan polisi kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mesej Dari Penjara peringkat Zon Timur di Penjara Bentong di sini Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Jamaluddin Saad.

Jelas Mahdzir, kuarters berkenaan tidak berpenghuni sejak 31 Disember 2008 dan berikutan itu, kementerian telah meluluskan permohonan penyewaan daripada syarikat berkenaan bermula tarikh 1 Oktober sehingga 30 September 2019  dengan kadar RM1,760 sebulan.

“Kita membenarkannya untuk disewakan memandangkan ia telah tidak berpenghuni sejak sekian lama disebabkan tiada permintaan daripada warga kementerian sendiri, justeru untuk mengelakkan bangunan itu dalam keadaan terbiar dan rosak akibat tidak diselenggara, kita buka ia untuk disewa dengan polisi tertentu,” katanya.

Difahamkan walaupun surat tawaran untuk penyewaan kuarters berkenaan telah dikeluarkan kepada syarikat itu, namun surat perjanjian penyewaan masih belum ditandatangani.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini mendesak supaya kementerian  menyiasat isu kuarters itu yang dijadikan asrama pekerja asing.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak dilaporkan berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kuarters terbabit disediakan kerajaan untuk kemudahan pegawai pendidikan atau penjawat awam sahaja.

Sementara itu, Mahdzir berkata kementerian akan mengadakan kerjasama lebih erat dengan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dalam usaha untuk memberikan kesedaran kepada pelajar terutama di kawasan panas (yang mempunyai banyak kes pelanggaran disiplin dan jenayah libatkan pelajar).

“Kita akan memberi pemahaman kepada mereka bahawa sesuatu perbuatan yang dilakukan mesti berpandukan kepada kehidupan normal, jangan buat sesuatu yang melanggar undang-undang negara kerana ia boleh memberi akibat yang buruk kepada diri sendiri.

“Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan program seperti Mesej Dari Penjara ini dan ia akan diperluaskan dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dengan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan panas,” katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan