Penjual Kosmetik Ubat Haram Akan Terus Digempur - Berita Semasa | mStar

Penjual Kosmetik Ubat Haram Akan Terus Digempur

Diterbitkan: Khamis, 19 Oktober 2017 9:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu akan terus bertindak tegas terhadap peniaga kosmetik dan produk kecantikan dalam talian yang melanggar peraturan hingga menjejaskan kesihatan dan nyawa pengguna.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohamad Omar berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan peniaga terlibat.

“Kami kini melalui unit penguatkuasaan farmasi menggandakan usaha mengesan mana-mana pengusaha produk kosmetik dan penjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan bernotifikasi secara dalam talian.

“Justeru kami menyeru semua pihak agar memberikan kerjasama melaporkan sebarang kegiatan melibatkan jualan atau iklan produk kosmetik yang tidak mendapat perakuan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Karnival Farmasi 2017 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini pada Khamis.

Katanya tindakan tegas itu diambil berikutan berlakunya peningkatan  rampasan kosmetik dan ubat-ubatan haram berkenaan sejak tahun 2015.

“Bagi tempoh itu hingga September tahun ini, Jabatan Kesihatan Terengganu merampas kira-kira 5,000 jenis ubat-ubatan dan kosmetik bernilai lebih RM2.8 juta kerana didapati melanggar peruntukan yang dikuatkuasakan oleh KKM.

“Daripada jumlah itu, dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 56 operasi serbuan dijalankan melibatkan rampasan 984 jenis ubat-ubatan dan kosmetik dengan nilai rampasan RM1 juta," katanya.

Tags / Kata Kunci: kosmetik , ubat haram
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan