Dilema Hidup Tan Woon Seng

Diterbitkan: Isnin, 2 Oktober 2017 8:27 AM

Woon Seng (kiri) bersama anaknya, Tang Xiang Jun mengharap kerakyatannya sebagai warganegara Malaysia dapat dikembalikan. foto Sinar Online.

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Namanya Cina tetapi dia berketurunan India. Itu keunikan Tang Woon Seng, 34, pemuda India yang dibesarkan dalam sebuah keluarga Tionghoa di Kampung Baru Site A, di sini.

Fasih berbahasa Mandarin namun tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Tamil yang disifatkan sebagai satu kekurangan ada pada dirinya.

Bagaimanapun, pemuda ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu-bapa angkatnya tanpa membezakan perhatian dengan adik-beradik angkat yang lain.

Woon Seng dijadikan anak angkat sejak bayi oleh mendiang Tang Kee Kwan ketika itu, apabila mendapat tahu keluarga kandung yang tinggal di kawasan berhampiran tidak mahu membesarkannya kerana masalah peribadi.

Kata Woon Seng, sejak kecil hingga dewasa dia dilayan sama rata tanpa dibezakan keluarga Cina yang membesarkannya.

“Kami satu keluarga sangat rapat walaupun kini mak dan ayah sudah tiada. Hubungan saya dengan kakak dan abang angkat masih terus akrab. Boleh dikatakan, saya orang yang sangat bertuah kerana bukan saja keluarga, jiran dan rakan juga melayan saya tanpa bezakan warna kulit.

“Tapi memang segelintir yang hairan dan pelik dengan saya. Iyalah... nama Cina tapi orangnya India,” katanya sambil memberitahu dia tidak pernah ambil hati dengan perkara tersebut.

Woon Seng yang dianggap anak bongsu daripada tujuh beradik ini berkata, masalah hanya timbul ketika dia berusia 16 tahun.

“Masa tu saya nak buat permohonan berkahwin dengan seorang warga Indonesia. Ketika proses buat pasport di Imigresen, kad pengenalan saya dirampas.

“Ketika itu, alasan yang diberikan adalah kerana timbul keraguan dengan nama Cina yang tertera di kad pengenalan dan saya pula berbangsa India. Pihak berkuasa syak itu kad pengenalan palsu.

“Selepas siasatan lanjut, pihak berkuasa menyedari ada maklumat tidak tepat sewaktu pendaftaran kelahiran yang dicatat dalam surat beranak.

“Ketika itu, bapa angkat secara tak sengaja daftarkan saya sebagai anak kandungnya pada surat beranak, yang sepatutnya dinyatakan sebagai anak angkat,” katanya.

Gambar ketika Woon Seng masih kecil bersama keluarga angkatnya. - foto Sinar Online.

Bimbang masa depan anak 

Woon Seng kini bekerja sebagai peniaga di pasar malam di ibu kota dan tinggal bersama kakak angkatnya.

Menurutnya, dia mempunyai sijil kelahiran, malah tidak berdepan masalah membuat kad pengenalan ketika berusia 12 tahun.

“Tapi sejak kad pengenalan saya diambil pihak berkuasa 16 tahun lalu, saya diberi kad pengenalan sementara berwarna hijau. Ia sekali gus menafikan kerakyatan saya sebagai warganegara.

“Itu sekali gus menjadikan saya asing di negara sendiri. Anak saya yang kini berusia 11 tahun juga dalam sijil kelahiran didaftarkan sebagai bukan warganegara.

“Saya juga risau dengan persekolahannya dan juga masa depannya," katanya.

Sementara itu, kakak angkatnya, Tang Woon Mee, 38, berkata, usaha untuk menyelesaikan masalah  Woon Seng dilakukan sejak kad pengenalannya diganti dengan warna hijau, namun sehingga kini masih belum selesai.

“Sebenarnya kami tak sangka masalah seperti ini boleh timbul kerana Woon Seng memang rakyat Malaysia. Dia dilahirkan di sini oleh ibu bapa yang juga orang sini. Cuma dia dibesarkan oleh keluarga Cina sahaja kerana keluarga kandungnya ada masalah peribadi.

“Memang rumit nak selesaikan isu ni, harap ia boleh diselesaikan sedikit masa lagi.

“Mujur kami ada banyak gambar Woon Seng membesar bersama kami dan juga dokumen penting lain iaitu sijil kelahiran serta juga dokumen membuat kad pengenalan ketika usianya 12 tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Seri Dr Lim Chin Fui berkata, pihaknya akan membantu Woon Seng mendapatkan semula taraf kerakyatannya.

Beliau berkata, itu telah pun dilaksanakan dengan menemukannya dengan Ketua Pengarah JPN.“Tapi kita juga kena faham, JPN mempunyai prosedur dalam menyiasat kes seperti ini.

“Tapi kita yakin, JPN akan dapat menangani masalah ini dengan baik dan boleh mengesahkan semula kerakyatan Woon Seng,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengikut prosedur JPN berhubung kes berkenaan. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Tan Woon Seng

iklan

Video

Selasa, 24 Oktober 2017 4:12 PM

Mujur Tak Kena Langgar

Selasa, 24 Oktober 2017 2:47 PM

Nampak Mayat Bergelimpangan...

Selasa, 24 Oktober 2017 9:00 AM

Jom Santai Tajul & Ruhainies Gamat!

Selasa, 24 Oktober 2017 8:30 AM

Penangan Ketam Raja

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Kolumnis

iklan

Iklan