Senyuman Buat Peminat

Diterbitkan: Jumaat, 29 September 2017 10:43 AM

Mahadzir menghadiahkan senyuman kepada semua yang mendoakan kesihatannya selepas dipindahkan ke wad biasa pada Jumaat.

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

PETALING JAYA: Keadaan kesihatan pengacara dan personaliti televisyen popular, Datuk Mahadzir Lokman semakin pulih dan beliau telah dipindahkan ke wad biasa pada petang Jumaat.

Adiknya, Danial Lokman berkata, Mahadzir dijangka menerima rawatan bagi tempoh seminggu lagi bagi memastikan keadaan kesihatannya benar-benar stabil sebelum dibenarkan pulang.

"Dia sangat bersemangat sejak semalam (Khamis) dan sudah boleh berbual dengan pelawat.

"Saya mewakili abang dan keluarga ingin berterima kasih kepada semua kakitangan Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan dia kembali sembuh," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Terdahulu, Danial berkata, Mahadzir boleh melakukan latihan fisioterapi ringan dan pihak doktor masih lagi memantau perkembangan kesihatannya dengan rapi.

Tambahnya, pihak keluarga turut berterima kasih di atas perhatian dan doa yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap kesihatan ikon siarawan negara itu.

Pada Selasa, Mahadzir yang lebih mesra disapa Dale sudah mula menunjukkan tanda-tanda positif selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak Ahad lalu.

Penerima anugerah Ordre Les Palmes Academiques daripada kerajaan Perancis pada 2006 itu berada dalam keadaan kritikal ekoran komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Tags / Kata Kunci: Mahadzir Lokman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan