Serah Nama Bakal Calon Untuk Disaring - SPRM - Berita Semasa | mStar

Serah Nama Bakal Calon Untuk Disaring - SPRM

Diterbitkan: Selasa, 26 September 2017 5:45 PM

(Ubah saiz teks)

PADANG BESAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempelawa parti-parti politik yang bercadang untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) supaya menyerahkan senarai nama bakal calon kepada suruhanjaya itu untuk disaring.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata walaupun tiada undang-undang atau paksaan untuk parti-parti politik berbuat demikian tetapi saringan dibuat bagi memastikan bakal-bakal calon bersih khususnya dari aspek rasuah dan salahguna kuasa.

“SPRM bersikap terbuka dalam hal ini dan terserah kepada parti-parti politik berkenaan,” katanya pada sidang media sempena program ‘Kembara Jelajah Anti-Rasuah 2017' (KEJAR ‘17) peringkat negeri Perlis di Kampung Panggas di sini, Selasa.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang turut hadir kemudian melepaskan Konvoi  KEJAR ‘17 yang disertai 44 motosikal berkuasa tinggi dan dua bas membawa pegawai-pegawai kanan SPRM dalam siri jelajah tersebut yang bermula 18 September lepas dan tamat di Putrajaya pada 1 Oktober ini.

Menurut Dzulkifli, hanya Barisan Nasional (BN) yang selalu menghantar nama-nama pemimpin dan bakal-bakal calonnya untuk disaring oleh SPRM manakala parti-parti pembangkang tidak pernah melakukannya.

Beliau memberi jaminan hasil setiap saringan dirahsiakan dan terserah kepada parti-parti politik untuk mengambil tindakan lanjut setelah menerima keputusannya.

“Saya ingin menasihatkan parti-parti politik yang ingin bertanding dalam PRU14 supaya setiap bakal calon mereka disaring kerana rakyat akan menilai integriti mereka,” tambahnya.

Dzulkifli berkata pihaknya mampu membuat semakan dan saringan terhadap semua ahli politik walaupun diminta oleh semua parti politik kerana data mereka berada dalam simpan agensi itu.

Mengenai kerjasama dengan National Anti Corruption Commission of Thailand (NACC), beliau berkata SPRM dan NACC mempunyai hubungan dan kerjasama pada tahap amat baik khususnya melibatkan pertukaran maklumat dan siasatan kes-kes kepentingan bersama.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Dzulkifli berkata  SPRM merupakan agensi tunggak yang membela rakyat apabila berdepan isu rasuah dan salah guna kuasa sama ada membabitkan penjawat awam atau tidak.

“Dalam era baharu ini, setiap jabatan dan agensi kerajaan mesti diurus tadbir dengan amanah dan rasa penuh tanggungjawab. Rakyat tidak boleh dikhianati. Saya ingin memberi amaran bahawa kita tidak bertolak ansur dengan pengkhianat.

“Oleh itu, saya akan pastikan SPRM menjadi agensi yang mesra rakyat, bukan ditakuti manakala dasar-dasarnya pula sampai serta mendapat sokongan rakyat bagi mencapai satu anjakan positif dalam memerangi rasuah,” kata Dzulkifli.

Menurut beliau, tangkapan-tangkapan berkaitan rasuah oleh suruhanjaya itu sejak awal tahun ini adalah antara Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang mana keanggotaannya telah mencecah 60,000 orang sejak dilancarkan pada 1 Ogos lepas.

Dzulkifli berkata KEJAR ‘17 diadakan bersempena sambutan jubli emas SPRM bertujuan mendedahkan peranan SPRM kepada masyarakat serta peranannya dalam membantu pembangunan negara.  - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: SPRM , PRU-14
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan