Murid Autisme Wakili Negara

Diterbitkan: Khamis, 7 September 2017 9:36 AM

Kimi bersama ibu bapanya. Foto Sinar Online

(Ubah saiz teks)

SUKAN bola sepak ternyata berjaya mengubah dunia seorang murid autisme, Daniel Hakimi Mohd Rostam, 12, apabila ia membuktikan dia boleh bergaul dengan remaja normal yang lain.

Dilihat dari segi luaran, Daniel yang mesra dipanggil Kimi itu kelihatan normal seperti remaja lain, namun dia mula dikesan sebagai pesakit autisme ketika berusia dua tahun.

Mula beraksi sejak berusia lapan tahun selaku penjaga gol, Kimi mula meniti kejayaan dan menyerlahkan kemampuannya dalam sukan tersebut selain membuktikan kekurangan yang dihadapi bukan penghalang utama.

Berlatih dan beraksi bersama remaja normal lain, dia mempamerkan ketangkasan dan kecekapan menjaga gawang gol kelab Shahzan Muda Junior FC dan Rhino Kids FC.

Bersama dua kelab itu, Kimi meraih pelbagai kejayaan antaranya penjaga gol terbaik dalam beberapa kejohanan seperti di Bera bagi perebutan Piala Ahli Parlimen Bera pada 2013 selain membantu kelab itu muncul juara dan naib juara dalam pelbagai kejohanan di negeri ini dan luar Pahang.

Malah pelajar aliran pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Gading itu bertuah kerana penglibatannya dalam sukan tersebut berkat dorongan serta sokongan padu kedua ibu bapanya, Mohd Rostam Hassan, 38, dan Norulhuda Md Daud, 33.

Kimi lincah beraksi di padang.

Bertanding dengan kelab Asia lain

Anak kedua daripada empat beradik itu membuktikan bakat dan minatnya dalam sukan itu telah berjaya membawa dirinya hingga beraksi ke luar negara.

Itu dapat dilihat apabila dia terpilih beraksi bersama kelab Inspire FC untuk bertanding bersama kelab-kelab Asia lain di Festival Bola Sepak Remaja Antarabangsa di Bangkok dan mendapat tempat ketiga Mac lalu.

Ternyata itu memberikan pengalaman dan kepuasan buat Kimi yang menyifatkan ia satu pencapaian peribadi terbaik dan kenangan manis kerana dapat beraksi bersama remaja dari seluruh Asia.

“Saya anggap ia satu kenangan manis dan berharap dapat lagi peluang beraksi di peringkat lebih tinggi,” katanya yang menjadikan penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas dan penjaga gol Selangor, Mohd Khairul Azhan Khalid sebagai idolanya.

Meminati subjek Matematik dan turut suka melukis, Kimi juga mula mengasah kemahirannya dalam permainan catur dan terpilih mewakili sekolah bersaing bersama pelajar-pelajar normal lain.

Sementara itu, bapanya, Mohd Rostam memberitahu, pada mulanya dia dan isteri sekadar ingin memberikan peluang kepada anaknya itu untuk berkomunikasi serta bergaul dengan orang lain.

“Saya bawa dia sertai latihan bersama abang sulungnya yang normal dan dari situ terdapat perubahan sikap dan emosinya lebih terkawal berbanding sebelum ini mudah sensitif.

“Memang tak sangka rupanya dia ada bakat dalam sukan ini dan baru-baru ini dia dikesan mempunyai kemahiran dalam permainan catur dan berjaya mewakili sekolah bersaing dengan pelajar normal,” katanya lagi.

Pengalaman beraksi di Bangkok bersama kelab Inspire FC.

Ibu, ayah buat yang terbaik

Dalam pada itu, Norulhuda memberitahu, dia dan suaminya memang berdepan pelbagai masalah berikutan kekurangan yang dihadapi oleh Kimi.

“Ikutkan masa lahir dia tidak cukup bulan dan doktor beritahu dia ada peluang 50:50 untuk hidup sebelum itu dan mempunyai masalah kesihatan.

“Pada mulanya saya dan suami memang tak boleh terima kekurangan Kimi, tapi lama-kelamaan kami boleh terima dan berusaha sediakan yang terbaik buat dia (Kimi),” katanya.

Ditanya ragam Kimi, Norulhuda berkata, anaknya sedikit cerewet dalam bab pemakanan dan tidak makan nasi kecuali bertepung seperti roti selain hanya mula bercakap ketika di usia tujuh tahun.

“Malah sampai sekarang, pertuturannya masih kurang jelas dan ada masalah juga masa latihan sebab susah nak berkomunikasi.

“Dia pun cepat terasa, mudah sensitif dan tak dapat bezakan gurauan, kadang-kadang mengamuk juga. Cuma saya terusik hati apabila dia mengadu kerana diejek budak OKU dan kami kenalah pujuk dia," katanya lagi.

Menyifatkan Kimi seorang anak yang teliti dan berfikir di luar kotak berbanding tiga anaknya berusia 14, 9 dan 5 tahun yang normal, Norulhuda dan suaminya gembira dengan perkembangan positif anaknya itu.

“Cuma kami harap dia dapat kembangkan bakat dan masyarakat terus beri sokongan kepada anak-anak autisme,” katanya. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: autisme

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan