Jalur Gemilang Berkibar Di Puncak Gunung Elbrus

Diterbitkan: Ahad, 3 September 2017 10:22 PM

Mas Ermieyati (tengah) bergambar bersama Pasukan Kembara Srikandi Prihatin, diwakili enam pendaki wanita yang bakal menggalas cabaran mendaki Gunung Elbrus di Rusia semasa Majlis Pelepasan Pasukan Kembara Srikandi Prihatin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Ogos lalu. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jalur Gemilang berkibar megah di puncak Gunung Elbrus, Rusia apabila ekspedisi Kembara Srikandi Prihatin (KSP) berjaya tiba ke puncak gunung itu pada 4.15 petang (waktu Malaysia) Sabtu.

Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ketua ekspedisi KSP Ummu Farah Haidar Zulkifli, 30, menjadi wakil tunggal yang berjaya menawan puncak gunung setinggi 5,642 meter itu sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

"Penghargaan turut diberikan kepada lima pendaki KSP lain kerana berjaya menyempurnakan misi ke Pergunungan Elbrus walaupun tidak dapat meneruskan misi menawan puncak akibat cuaca buruk.

"Walaupun Ummu Farah sahaja berjaya menawan puncak, kejayaan ini adalah kejayaan buat lima pendaki lain yang tidak patah semangat untuk mencuba mendaki ke paras ketinggian maksimum. Namun, misi mereka telah terhenti pada ketinggian berbeza atas faktor keterbatasan fizikal," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Lima pendaki  lain ialah Nurul Huda Shamsuddin, 31, Nir Azmin Adnan, 34, Fairul Asmaini Mohd Pilus, 35, Fazilah Abd Manan, 41 dan Ren'ee Aziz Ahmad, 56, yang juga bekas pesakit kanser payu dara.

Ekspedisi itu, yang dianjurkan Persatuan Kembara Negara dengan kerjasama Puteri Umno, berlepas ke Rusia pada 23 Ogos lepas.

Ia merupakan acara kemuncak bagi kempen KSP yang diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti luar dan lasak dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perdana Menteri yang merealisasikan impian wanita Malaysia untuk menakluki gunung tertinggi di Eropah itu melalui kempen 'Negaraku'.

Beliau juga berkata Persatuan Kembara Negara memaklumkan bahawa kesemua pendaki dan pelancong lain berjaya dibawa keluar dengan selamat menaiki helikopter yang disediakan oleh kerajaan Rusia dari kawasan yang terjejas akibat banjir lumpur di perkampungan Terskol, yang terletak berhampiran gunung itu.

Pada masa ini, kumpulan pendaki itu dalam perjalanan ke LapanganTerbang Mineralnye Vody, Stavropol Krai sebelum menaiki pesawat ke Moscow malam Ahad.

Pada Sabtu, Kementerian Luar menerusi kenyataannya mengesahkan 19 rakyat Malaysia termasuk enam pendaki KSP yang mendaki puncak Gunung Elbrus, Rusia, terkandas ekoran banjir lumpur melanda Perkampungan Terskol pada Jumaat. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Kolumnis

iklan

Iklan