“Tebar Demi Abah...”

Diterbitkan: Sabtu, 2 September 2017 12:45 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dalam banyak-banyak pekerjaan yang ada, menakjubkan apabila gadis ini memilih untuk menjadi penebar roti canai.

Gadis bertudung ini langsung tidak peduli dengan kuali panas dan tangannya yang sentiasa berminyak ketika membuat juadah sarapan kegemaran ramai itu, jauh bezanya dengan kerjaya yang lebih 'bersih' atau glamor yang sering diimpikan rakan seusia dan sejantina dengannya.

Melihat kemahiran gadis ini, tidak hairanlah mengapa gambar dan videonya sedang 'beraksi' menebar dan menggoreng roti canai tular di media sosial.

Nur Intan Izani Mohd Bakri ketika dihubungi mStar Online berkata, walaupun menebar roti canai lebih sinonim dengan kaum Adam, dia tidak pernah malu atau segan mencari rezeki dengan cara ini di gerai D-8 IlahBrie yang dibuka oleh bapanya, di pekan Lunas, Kulim, Kedah, 30 tahun lalu.

"Saya membesar di sini, dari kecil tengok abah uli tepung dan buat roti canai, dari situlah timbul minat untuk belajar dan cari rezeki dengan cara ni.

"Kalau minat tak boleh malu, dulu mungkinlah malu sikit. Setakat pelanggan usik dan kacau-kacau tu biasalah, saya tak kisah sangat selagi mereka tak keterlaluan," kata gadis ini.

Berusia 20 tahun, dia yang lebih senang disapa Izani mendedahkan  tidak pernah mempunyai cita-cita lain selain mahu menjadi ahli perniagaan berjaya.

Katanya, sejak menjadi penebar tetap di gerai bapanya, rutin hariannya adalah memulakan tugas seawal jam 6 pagi sehingga kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Saya langsung tak pernah terfikir nak sambung belajar atau kerja makan gaji, dari dulu memang cita-cita saya nak sambung bisnes abah.

"Lagipun semua kerja di sini saya boleh buat. Tebar roti, bancuh air, kira duit, ambil 'order', saya gembira kerja dengan keluarga mungkin sebab tu saya tak pernah ada cita-cita lain," katanya.

Mesej 'nakal' yang diterima Izani selepas kisahnya tular.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Paya Besar, Lunas, ini mengakui menggalas tugas sebagai penebar roti canai tidak mudah selain memerlukan minat dan kesabaran.

Malah, seperti penebar lain, dia juga tidak pernah terlepas daripada dikritik oleh pelanggan, termasuklah yang mengadu roti yang dibuatnya koyak dan bersaiz petak, sedangkan pelanggan mahukan roti bersaiz bulat.

Izani berkata, untuk memuaskan hati pelanggan, dia akan berusaha perlahan-lahan menghasilkan roti canai menurut kehendak mereka.

Bercerita lanjut, Izani berkata dia mula belajar menebar secara serius daripada bapanya ketika berusia 16 tahun.

Katanya, dia mengambil alih tugas menebar daripada bapanya apabila insan kesayangannya itu jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital kira-kira empat tahun lalu.

"Saya buat, abah duduk sebelah tengok. Seminggu juga nak pandai walaupun dari kecil tengok abah buat.

"Buat roti canai ni kena sabar, tangan kena lembut dan paling penting kena buat selalu, masa tebar tak rasa penat, lepas dah berhenti boleh tahan jugalah penatnya," katanya sambil menambah bapanya juga sanggup memasang kipas bagi mengurangkan rasa panas ketika bekerja.

Menurut Izani, selain menebar roti canai, dia juga mempunyai kepakaran lain iaitu membancuh minuman kegemaran ramai, teh ais tarik dan memasak nasi lemak.

Katanya, sejak gambar dan video dirinya dimuat naik oleh seorang pelanggan tetapnya di Facebook dan tular, dia menerima lebih ramai pelanggan termasuklah dari Kuala Lumpur dan Sabah.

Bagaimanapun katanya, dia masih belum mahir menyediakan adunan roti canai dan dalam proses belajar daripada bapanya.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan