Kedah Tidak Pernah 'Mengemis'

Diterbitkan: Rabu, 16 Ogos 2017 3:47 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan negeri tidak pernah 'mengemis' ihsan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan peruntukan bagi projek-projek mega yang dirancang di negeri ini.

Sebaliknya, kerajaan negeri, kata Ahmad Bashah, berbincang dan membuat permohonan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut saluran dan lunas yang betul bagi setiap projek yang telah dirancang oleh kerajaan negeri.

"Saya tidak setuju kalau kita dikatakan mengemis daripada kerajaan persekutuan. Kita mohon peruntukan kerana kita tahu bukan kita saja yang memerlukan bantuan tapi negeri lain pun sama dan setiap  permohonan  adalah bersandarkan kepada perancangan yang teliti," katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam daripada PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada Selasa dalam sidang Dewan Negeri yang menyatakan bahawa kerajaan negeri terpaksa mengemis untuk mendapatkan bantuan kerajaan persekutuan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata itu berkata, istilah mengemis atau pun meminta sedekah tidak sepatutnya timbul kerana sudah menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk membantu kerajaan negeri, tanpa mengira sama ada negeri itu dipimpin pembangkang atau pun sebaliknya.

Malah Kedah, katanya,  amat bertuah kerana sudah menerima banyak peruntukan daripada kerajaan pusat antaranya melalui projek Taman Sains Teknologi Kulim (KSTP) sebanyak RM417 juta, Jeniang Transfer dan Empangan Naok (RM1 bilion), Bandar Raya Getah (RM320 juta), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (RM89 juta) dan menaik taraf jeti Kuala Kedah membabitkan peruntukan RM208 juta.

Mengenai kenyataan Mukhriz yang membandingkan peruntukan diterima Sarawak yang dikatakan lebih banyak berbanding Kedah, Ahmad Bashah berkata perkara itu sepatutnya tidak perlu ditimbulkan memandangkan terdapat beberapa elemen lain yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan jumlah peruntukan yang layak diterima.

"Perdana Menteri lebih arif mengenai keperluan di satu-satu negeri malah dia tidak pernah menghampakan sesiapa pun yang meminta bantuan daripada dia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) telah disampaikan kepada rakyat Kedah yang terjejas banjir kilat baru-baru ini.

"Kita (kerajaan negeri) berikan bantuan kepada semua rakyat yang terjejas akibat banjir tanpa mengambil kira fahaman politik.

"Selagi mereka sudi buka pintu, selagi itulah kita akan pastikan tiada rumah yang tertinggal untuk menerima bantuan Barakah ini, tetapi kalau mereka tidak mahu, kita tidak boleh buat apa," katanya.-Bernama

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan