Gempa Bumi Di Sumatera, Johor Bahru Bergegar

Diterbitkan: Ahad, 13 Ogos 2017 4:20 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

JOHOR BAHRU: Gegaran turut dialami pada pagi Ahad di sini apabila gempa bumi dengan kekuatan 6.4 magnitud melanda Sumatera Selatan, Indonesia pada 11.08 pagi.

Pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Johor, Mohamad Riduan Akhyar berkata, dua penduduk dalam dua bangunan merasai gegaran tersebut.

Tambahnya, bangunan berkenaan adalah Menara Kastam di Tebrau dan Lembaga Hasil Dalam Negeri di Tampoi.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.23 pagi dan anggota segera dihantar ke kawasan yang terlibat.

"Kesemua yang ada dalam kedua-dua bangunan sudah dipindahkan atas langkah keselamatan," katanya melalui kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Ahad.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Sementara itu, Bernama melaporkan, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa itu berpusat di 78km barat daya Bengkulu, Indonesia dan 636km barat daya Pontian, Johor.

Bagaimanapun, ia tidak membawa ancaman tsunami.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan