Gamat Jadi Rebutan Penceroboh

Diterbitkan: Jumaat, 4 Ogos 2017 9:02 AM

Gambar fail timun laut. Foto AP

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Sebuah kapal besar berlabuh di perairan antarabangsa manakala berpuluh bot kecil yang dinaiki nelayan warga Vietnam, sebahagiannya bersenjata dikesan memasuki kawasan Malaysia bagi mencari gamat yang begitu banyak di perairan Johor.

Berlayar hampir 1,400 kilometer dari kampung halaman ke laut selama hampir dua bulan, termasuk menghabiskan masa menangkap ikan di perairan Sedili di sini.

Mereka kembali ke kapal besar apabila muatan penuh bagi menyimpannya di dalam bilik beku yang dipenuhi ikan dan gamat.

Kemudiannya mereka kembali ke Vietnam dengan tangkapan bertan-tan yang bernilai jutaan ringgit, terutama di China.

Isu pencerobohan semakin berleluasa menyebabkan masalah serius buat nelayan tempatan yang diancam oleh kapal-kapal besar dan senjata.

Mereka yang menceroboh juga menggunakan pukat harimau yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang besar kerana penggunaannya mengikis dasar perairan laut.

Pasaran tempatan bagi hasil ikan turut terjejas, menyebabkan harga meningkat lebih 50 peratus secara purata berbanding tahun lalu.

Contohnya, Ikan Kembung yang kebiasaannya berharga kira-kira RM6 sekilogram (kg) naik mendadak antara RM10 dan RM12.

Pengarah Maritim Wilayah Selatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Datuk Adon Shalan berkata, kesemua bot berkenaan kini menjadi masalah berikutan mereka tahu mencari jalan keluar bagi mengelakkan daripada dikesan.

"Setiap kali mereka lihat bot peronda kami, mereka segera pergi ke perairan antarabangsa bagi mengelakkan daripada ditahan," katanya.

Beliau menambah, APMM turut mempergiatkan operasi bagi membanteras sebarang pencerobohan kapal nelayan asing.

Namun Adon percaya sindiket itu bersekongkol dengan rakyat tempatan yang menjadi sumber maklumat buat mereka.

"Setiap kali kita dapat mencari kapal dan mengarahkan pasukan untuk membuat tangkapan, mereka segera meninggalkan perairan antarabangsa," katanya.

"Kita tidak boleh membuat pendakwaan untuk menangkap mereka kerana mereka berada di perairan antarabangsa.

"Malah kalau kita tangkap mereka, sindiket-sindiket ini mempunyai banyak wang untuk melantik peguam bagi mewakili mereka," katanya, sambil menambah nelayan-nelayan terbabit juga mampu membayar denda.

Tambah Adon, APMM mempunyai maklumat bahawa sebahagian mereka memiliki parang dan senjata api.

"Kita berharap dengan Pangkalan Maritim Abu Bakar di Batuan Tengah akan membantu kita memantau dan membanteras aktiviti-aktiviti haram di perairan Johor," katanya.

Menurut sumber, APMM menasihatkan komuniti nelayan di bahagian timur Johor supaya tidak terbabit dengan kapal-kapal milik warga Vietnam dalam apa cara sekalipun demi keselamatan mereka.

Pada 23 Mei lalu, Jabatan Perikanan Johor menahan 22 nelayan warga Vietnam, berusia antara 19 dan 45 tahun, dan merampas hasil gamat bernilai RM5 juta dari tiga bot.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan