Mi Wantan Halal Dapat Sambutan Hangat!

Diterbitkan: Khamis, 3 Ogos 2017 10:48 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Ada sesiapa tercari-cari mi wantan halal?

Anda boleh menikmatinya di gerai di pasar Seberang Jaya.

Namun disebabkan ia sangat lazat dan akan habis seawal jam 10.30 pagi, sudah tentulah anda perlu datang awal ke sini.

Guru tadika Tracy Huang, 38, yang dilihat sedang beratur untuk membeli hidangan ini berkata, dia mendapat tahu tentang gerai itu enam bulan yang lalu.

“Saya tak makan daging khinzir, sudah tentu gerai ini sesuai untuk saya. Tukang masak menggantikan daging khinzir panggang dengan daging ayam, ia lebih sihat.

“Kuahnya lebih manis berbanding kuah mi wantan yang dijual di tempat lain,” katanya sebelum membawa pulang dua bungkus mi untuk anaknya.

Gerai kelihatan sibuk ketika The Star membuat lawatan pada Rabu, yang mana ramai pelanggan beratur untuk membeli mi wantan sebagai sarapan.

Setiap mangkuk mengandungi mi, 'dumpling', bebola ikan dan sayur dijual pada harga RM3.80, dengan tambahan RM1 untuk daging ayam.

Pemilik gerai Mohd Azron Ibrahim, 39, berkata, dia akan memulakan perniagaan pada jam 9 pagi tetapi isterinya, Nabila Chew Abdullah, 42, akan membuat persiapan seawal 7.30 pagi.

“Kami memulakan perniagaan ini sejak empat tahun yang lalu.

“Semua bahan yang kami gunakan telah mendapat pengesahan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Kami gunakan ayam untuk inti dumpling dan hirisan daging panggang. Kami mengambil masa enam bulan buat uji kaji bagi mendapatkan hasil dan rasa yang terbaik,” kata Mohd Azron.

Dia yang dahulunya bekerja sebagai penolong penyelia syarikat logistik berkata, kebanyakan pelanggan mereka berbangsa Melayu, tetapi ada juga yang berlainan bangsa.

Gerai itu dibuka dari Rabu hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga tengahari.

Pada Sabtu, mereka turut menjual mi kari putih, manakala hari Ahad, char hor fun turut dimasukkan dalam menu jualan.


iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan