Jurutera Jadi 'Doktor' Rawat Anak Sawan 15 Kali Sehari

Diterbitkan: Khamis, 27 Julai 2017 12:10 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pasangan ini buntu apabila anak kesayangan mereka diserang epilepsi (sawan) teruk, hampir 20 kali setiap hari.

Mahu atau tidak, Nawawi Ibrahim, 34, dan Shazren Shah, 33, yang kedua-duanya bertugas sebagai jurutera perlu menjadi 'doktor terapi' kepada Hadif Aryan, yang ketika itu berusia empat tahun.

Sepanjang setahun, keluar masuk hospital sudah menjadi lumrah, malah ada ketikanya mereka perlu mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak mereka yang sakit itu.

"Badannya mudah terjejas, dia tak boleh kena sakit-sakit ringan seperti selsema, batuk atau demam kerana ia boleh menyebabkan sawannya semakin teruk dan tak terkawal.

"Disebabkan badannya sangat lemah, dia tak boleh makan ubat dan kami hanya boleh bantu beri sokongan luaran sahaja," kata Shazren dalam satu temubual bersama mStar Online.

Menurut Shazren, sebagai ibu, sukar untuk menggambarkan bagaimana hatinya sedih setiap kali melihat anaknya diserang sawan, kira-kira dua tahun lalu.

Beliau masih ingat lagi bagaimana anaknya terpaksa menjalani pembedahan usus sebanyak empat kali disebabkan kesan sampingan daripada pemakanan dan rawatan yang diambilnya.

Jalan Keluar

Namun beliau tidak terus duduk mengenang nasib!

Disebabkan tidak sanggup melihat anaknya terus menderita, pasangan ini sepakat melakukan kajian sendiri bagi mencari jalan keluar kepada masalah Hadif Aryan.

Ternyata ilmu kimia dalam bidang kejuruteraan sedikit-sebanyak dapat membantu mereka pada masa itu yang tercari-cari 'ubat' atau penawar untuk anak mereka sendiri.

Shazren berkata, dalam hal ini suaminya yang paling banyak berikhtiar dengan cara membaca buku-buku perubatan dan rawatan alternatif, seterusnya melakukan eksperimen sendiri.

"Banyak kami belajar, kebanyakannya daripada Google dan pakar-pakar dari Amerika dan Singapura secara 'online' dan menyertai kumpulan tertentu...belajar bagaimana mereka terapikan anak-anak, terutama yang bermasalah," kata Nawawi.

Menurut Nawawi, setelah melakukan kajian, beliau dapat membuat kesimpulan bahawa badan manusia secara asasnya mampu bertindak balas dengan teknik sentuhan tertentu.

Menyedari hakikat ini, beliau cuba menghasilkan minyak terapi selsema bayi menggunakan bahan-bahan semulajadi yang mampu membantu melancarkan pernafasan dan meningkatkan daya ketahanan badan bayi yang dinamakan FLUtherapy.

"Kami juga belajar tentang sentuhan, teknik urutan dan gabungkan dengan penggunaan minyak pati semulajadi yang diformulasi sendiri itu," katanya.

Nawawi berkata, walaupun menggunakan minyak ini, mereka tidak meninggalkan terus rawatan hospital dan masih mendapat nasihat doktor dalam perkara tertentu.

"Alhamdulillah, selepas setahun anak kami sudah boleh bersekolah seperti biasa dan sawannya telah tiada," katanya.

Kongsi Manfaat

Shazren berkata sebenarnya ramai pasangan ibu bapa di negara ini mengalami masalah sama yang dihadapi dirinya dan suami.

Jelasnya, bayi di bawah umur dua tahun tidak digalakkan mengambil sebarang ubat-ubatan dan dalam masa yang sama selsema adalah penyakit biasa bagi bayi di peringkat usia ini, tetapi tiada ubat khas.

Beliau menambah, disebabkan mahu berkongsi manfaat dengan ibu bapa lain, beliau dan suami terpanggil untuk menambah baik minyak terapi yang pada asalnya dihasilkan untuk anak mereka sebelum ini.

"Selepas dapat formulasi itu dan anak kami sudah sembuh, kajian kami tak terhenti setakat itu saja.

"Kami ambil inisiatif berkolaborasi dengan Universiti Putra Malaysia dan beberapa agensi lain untuk kaji balik apa yang telah diformulasi itu.

"Kami buat ini sebab sedar ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan tidak mudah percayakan produk tanpa jaminan keselamatan," katanya.

Bagi memastikan produk yang dihasilkan selamat, beberapa ujian makmal telah dibuat termasuklah ujian Sirim.

"Syukur semuanya selamat, kita lepas semua ujian, kita jumpa bahan-bahan aktif dalam minyak yang memang membantu melegakan saluran pernafasan, mencairkan kahak...manfaat dalam tumbuh-tumbuhan," kata Nawawi.

Minyak terapi ini 100 peratus menggunakan ekstrak tumbuhan dan bunga eksotik bagi membantu melegakan sistem pernafasan sekali gus merawat selsema, batuk dan sesak nafas akibat lendir.

Tags / Kata Kunci: selsema bayi , bayi flu , terapi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan