“Tak Sangka Muka Jadi Mark Adam”

Diterbitkan: Rabu, 26 Julai 2017 10:40 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hanya kerana wajah dan saiz badan, seorang wanita telah bertindak keluar dari kereta teman lelakinya ketika mereka ‘berdating’!

Demikian situasi yang dialami Muhammad Azizul Rahim Kamarudin, 25, apabila orang sekelilingnya ‘tertipu’ dengan wajah dan fizikalnya yang mengalami perubahan drastik selepas berat badannya turun dari 96kg kepada 60kg.

Graduan lepasan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) ini berkata, beliau sendiri terkejut apabila wajahnya turut berubah selepas mengamalkan diet selama tiga bulan, menyebabkan orang sekeliling hampir tidak mengenalinya.

Lebih mengejutkan, ada yang menyamakan wajahnya terbarunya itu dengan penyanyi dari Filipina yang mencipta nama di Malaysia, Mark Adam.

“Bila ramai kata macam tu saya fikir kenapa tak cuba buat posting perbandingan di Facebook, sajalah suka-suka dan tak sangka rakan di Facebook pun kata saya ada iras-iras Mark Adam, terutama bahagian mata.

“Ada juga yang kata muka saya ada sikit macam Safee Sali, saya pun apa lagi perasanlah sekejap…tapi saya anggap itu semua sebagai gurauan saja,” katanya kepada mStar Online.

Posting kejayaan Muhammad Azizul Rahim atau ‘Abam Zul’ yang sanggup tidur bersama ‘tong air’ untuk kurus tular di media sosial dan menjadi inspirasi buat mereka yang berbadan besar untuk terus mengamalkan diet.

Bercerita lanjut tentang perubahan dirinya, beliau yang kebetulan minat dengan penyanyi itu kini menyimpan hasrat untuk menyimpan rambut panjang bagi menyerlahkan lagi persamaan wajahnya dengan Mark.

“Saya buat ni sebagai dorongan, semangat dan kepuasan diri sendiri saja, sambil-sambil tu saya kongsi dengan kawan-kawan yang nak kurus,” katanya yang kini sedang berusaha menurunkan berat badannya kepada 55kg.

Beliau yang kini berniaga nasi lemak dan Chicken Chop di Batu Gajah, Perak, sementara menunggu panggilan temuduga menyertai pasukan polis mengakui bahawa individu berbadan besar bukan hanya akan turun berat badan apabila berdiet, tetapi juga akan menunjukkan perubahan pada wajah.

Apa yang lebih penting, tubuh akan terasa lebih sihat dan cergas, sekali gus memudahkan setiap pergerakan termasuklah untuk beribadat.

Jelasnya, perubahan ini berlaku disebabkan kandungan toksin dalam badan telah dikeluarkan.

-foto FB Muhammad Azizul Rahim

“Perkara pertama saya buat ketika nekad untuk diet adalah berbekam untuk buang toksin dan kekotoran dalam badan, kemudian saya amalkan minum air lemon.

“Selepas tiga bulan, hasilnya kulit muka saya lebih cerah, tak berminyak dan jerawat pun hilang. Kalau berpeluh pun muka hanya lembab tapi tak berminyak,” katanya.

Mengimbas kisah dirinya tidak dikenali oleh rakan-rakan dan teman wanita sendiri, beliau berkata situasi itu berlaku baru-baru ini, iaitu pada bulan ketiga selepas mengamalkan diet secara serius.

Menurut Abam Zul, beliau mula berdiet pada Mei, kira-kira sebulan sebelum bulan puasa dan usahanya itu menampakkan hasil pada Julai.

“Saya minta untuk tak jumpa kekasih saya selama dua bulan. Baru-baru ini bila kami jumpa semula, dia terus keluar dari kereta kerana ingat tersalah masuk kereta lelaki lain, siap minta maaf dengan saya kerana ‘salah orang’.

“Pelanggan nasi lemak pun ingatkan mereka tersalah singgah gerai selepas sebulan saya cuti berniaga pada bulan puasa,” katanya.

Sebagai pengamal diet Atkins, beliau berkata semua makanan harian dimasak sendiri di rumah dengan cara rebus dan panggang.

Mengenai kisahnya tidur di sebelah tong air, beliau menjelaskan bahawa tong tersebut diletakkan di sebelah katil di bilik tidurnya bagi memudahkannya untuk minum air kosong yang banyak setiap hari.

Beliau menasihatkan individu yang obesiti supaya jelas dengan matlamat mereka apabila berazam untuk kurus dan tidak mengamalkannya dalam jangka masa pendek.

Katanya, untuk kurus seseorang itu juga perlu rajin melakukan kajian dan membuat beberapa percubaan menu diet bagi menentukan keserasiannya dengan badan.

Tags / Kata Kunci: diet Atkins , rahsia kurus , Mark Adam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan