Malaysia Kecam Pertempuran Di Tebing Barat

Diterbitkan: Ahad, 23 Julai 2017 8:01 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam pertempuran antara pasukan keselamatan Israel dengan rakyat Palestin di Tebing Barat pada Sabtu yang mengorbankan tiga  warga  Palestin dan mengakibat ramai yang tercedera.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata pertempuran terkini merupakan perkembangan  berbahaya  yang boleh mengeruhkan lagi keadaan yang tidak menentu  di wilayah-wilayah Palestin yang diduduki.

“Malaysia mengutuk penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak bersenjata, dan menyeru semua pihak supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di Bandar Lama Jerusalem.

Malaysia juga mengulangi pendiriannya bahawa Israel perlu memberikan akses tanpa sekatan  kepada umat Islam untuk ke Masjid al-Aqsa dan menghentikan apa-apa tindakan yang boleh mengubah status quo tempat suci Islam itu.

“Kesucian tempat agama perlu dihormati,” katanya.

Menurut Wisma Putra, Malaysia menyokong usaha Raja Jordan, Raja Abdullah II bin Al-Hussein yang juga Penjaga Tapak Suci Jerusalem dalam membawa keamanan di kota suci itu.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Tebing Barat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan