Kementerian Kaji Beban Buku Dibawa Murid

Diterbitkan: Ahad, 23 Julai 2017 8:40 PM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

BATU GAJAH: Pegawai dari Kementerian Pendidikan akan pergi ke beberapa sekolah rendah di negara ini untuk mengkaji jumlah buku yang dibawa murid setiap hari ke sekolah, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata langkah itu dilakukan bagi memastikan jumlah buku yang dibawa murid sekolah tidak terlalu berat seterusnya membebankan mereka setiap hari.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu Gajah di sini hari ini, beliau berkata jumlah  buku latihan tambahan yang dibawa murid itu bergantung kepada guru serta sekolah dan kebanyakan aduan yang diterima membabitkan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

"Ini kerana dikatakan ramai yang mendakwa  guru di sekolah terbabit banyak memberikan buku latihan tambahan, bagaimanapun saya tidak pasti dakwaan itu sama ada benar atau tidak dan maklumat lengkap mengenai masih belum peroleh," kata Mahdzir, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno.

Beliau diminta mengulas laporan muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai bebanan buku tambahan yang terpaksa dibawa pelajar sekolah rendah di negara ini.

Katanya terdapat garis panduan berhubung jumlah buku dan berat yang dibenarkan terhadap murid dan jumlah maksimum yang dibenarkan adalah 10 buah buku sahaja. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan