UMP Muncul Universiti Pertama Tawar Pengajian Teknologi Kereta Api

Diterbitkan: Sabtu, 22 Julai 2017 3:57 PM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menjadi sebuah insitusi pengajian tinggi teknikal yang pertama di negara ini memperkenalkan pengajian dalam bidang teknologi kereta api, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bidang pengajian itu dilihat sebagai keperluan pada masa kini berdasarkan perkembangan semasa dalam bidang pengangkutan negara termasuk pembinaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang akan dirasmikan pada September ini.

"Saya letakkan satu lagi KPI (petunjuk prestasi utama) untuk universiti ini, jika selama ini lebih kepada pengurusan dalam bidang automotif, tetapi kali ini saya hendak ia beri tumpuan kepada teknologi kereta api.

“Ia juga sesuai dengan kedudukan UMP Kampus Gambang ini  yang berhampiran dengan laluan ECRL yang mana projek besar ini nanti kita akan lancar pada Sept akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap di majlis pelancaran Masjid UMP dan Raikan Syawal Perdana Menteri bersama lebih 2,000 warga UMP dan komuniti di Kuala Pekan di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib dan Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Pengajian yang dinamakan Program Latihan Kemahiran Industri ECRL itu dijangka akan bermula pada Sept ini dengan pengambilan pertama seramai 300 pelajar.

Program ini akan menyediakan dan meningkatkan kemahiran graduan tempatan untuk diambil bekerja oleh kontraktor ECRL dan industri kereta api berteknologi ini.

Najib yang juga anggota Parlimen Pekan berkata projek berkenaan memerlukan sokongan besar-besaran daripada semua pihak termasuk insitusi pengajian tinggi di negara ini.

"Kita perlukan kemahiran dalam bidang teknologi kereta api sama ada dari segi pembinaan, bidang penyelenggaraan serta pengurusan dan untuk lancarkan program  kemahiran ini, UMP akan memulakan proses memindahkan kemahirannya.

"Program ini akan ambil masa enam bulan pertama dan pada masa akan datang akan ada program pengajian yang lebih lama (dari tempoh enam bulan) akan diperkenalkan),” kata Najib.

Projek pembinaan ECRL akan menyediakan landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Gombak, Selangor; Gombak ke Kuantan, Pahang seterusnya hingga ke Tumpat, Kelantan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.

Di Pahang, laluan ECRL akan melalui Kota SAS, Kuantan Sentral, Gambang, Maran, Mentakab, dan Bentong.

Sementara itu, Najib menyifatkan UMP ibarat sebutir permata yang bernilai di hujung muara Sungai Pahang, yang banyak memberi banyak manfaat bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga penduduk sekitar.

"Saya lihat sejak kebelakangan ini, UMP sangat menggalakkan dan dari segi ranking ia kini mencapai kedudukan 251 hingga 300 universiti terbaik di dunia dalam bidang kejuruteraan mekanikal walaupun usianya masih muda.

"Malah kebolehpasaran graduan juga mencapai 95 peratus iaitu dapat pekerjaan dan lanjut pengajian. Jadi langkah kita menjadikan UMP sebagai universiti teknikal merupakan langkah yang tepat dan UMP tidak perlu lagi buka fakulti bukan berasaskan pengajian teknikal," katanya.-- Bernama 




Tags / Kata Kunci: UMP , kereta api

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan