Lebih Setengah Juta Bakal Nikmati Diskaun 50 Peratus Tambang

Diterbitkan: Isnin, 17 Julai 2017 9:37 PM

Orang ramai mengambil peluang menggunakan perkhidmatan tren Transit Aliran Massa (MRT) secara percuma sehingga 12 tengah malam ini selepas dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin.-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih setengah juta pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT Rapid KL sedia ada dan puluhan ribu pengguna baharu dijangka menikmati diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan mereka mulai esok sehingga 31 Ogos 2017 berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika majlis perasmian fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang (MRT SBK) pada Isnin.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri tersebut, Datuk Ir Zohari Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan MRT SBK berkata syarikat sedang bersiap sedia untuk menyelaraskan sistem tambang kesemua perkhidmatan terlibat untuk kemudahan semua pengguna.

“In shaa Allah, sistem tambang kami akan siap diselaraskan untuk memberi diskaun 50 peratus kepada kesemua pengguna perkhidmatan MRT, LRT, monorel, dan BRT mulai esok,” kata Zohari.

Selaras dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK kepada orang ramai mulai 4 petang ini, Zohari turut menyeru orang ramai supaya mengambil kesempatan untuk menggunakan secara percuma perkhidmatan MRT fasa dua dari Stesen Kajang ke Stesen Muzium Negara sehingga tamat waktu perkhidmatan hari ini (17 Julai 2017) dengan tren terakhir berlepas dari Stesen Kajang dan Muzium Negara kira-kira jam 11.30 malam ini.

Dengan pembukaan fasa kedua MRT SBK, Zohari berkata lebih 1,200 anggota Rapid Rail yang ditugaskan untuk mengendalikan perkhidmatan MRT SBK turut bersedia menyambut bilangan pengguna baharu perkhidmatan MRT yang dijangka meningkat 10 kali ganda sehari berbanding jumlah pengguna MRT sedia ada.

Berikutan jangkaan peningkatan jumlah pengguna baharu tersebut, terutamanya di stesen-stesen sambungan dan bersepadu, Rapid Rail telah dan sedang mengubah suai beberapa stesen utama, antaranya Stesen LRT KL Sentral.

“Anjung Timur Stesen LRT KL Sentral telah siap diubah suai dan dibuka sepenuhnya mulai hari ini sebagai pintu masuk kedua Stesen LRT KL Sentral.

“Anjung Timur Stesen LRT KL Sentral dilengkapi Pejabat Khidmat Pelanggan; 17 pintu  penghadang otomatik; empat eskalator, kamera litar tertutup, 11 mesin penjualan token, kemudahan menambah nilai Touch ‘n Go, dan kemudahan untuk penukaran kad MyRapid yang biasa,” kata Zohari sambil mengingatkan pemegang kad MyRapid agar menukar kad mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go yang baharu untuk memastikan perjalanan yang lancar di antara sistem LRT dan sistem MRT yang baharu tersebut.

“Para pemegang kad MyRapid yang biasa (kad berwarna hitam) boleh menukar kad mereka kepada kad MyRapid Touch ‘n Go secara percuma di kebanyakan stesen LRT, BRT, dan monorel sehingga 31 Julai ini.

“Para pemegang kad konsesi, termasuk warga emas, OKU, dan pelajar boleh menukar kad konsesi MyRapid mereka di Stesen LRT Subang Jaya, Stesen LRT Awan Besar, dan Stesen LRT Sri Rampai dari 7 pagi sehingga 7 petang, setiap hari, selain Pusat Kad Konsesi MyRapid di Hentian Pasar Seni,” tambah Zohari. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Rapid KL , MRT , tambang

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan