Op Mega E-Kad: 3,506 Pati, 75 Majikan Ditahan

Diterbitkan: Ahad, 16 Julai 2017 11:02 AM

GAMBAR fail menunjukkan sejumlah pati ditahan oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seramai 3,506 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan Jabatan Imigresen dalam Op Mega yang dijalankan di seluruh negara bermula tengah malam 30 Jun lalu hingga petang Jumaat (14 Julai), selepas tamat tempoh program pendaftaran Enforcement Card atau E-Kad.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sebanyak 699 premis membabitkan 10,893 orang diperiksa sepanjang tempoh itu.

Katanya, sebahagian besar Pati yang ditangkap adalah warga Bangladesh seramai 1,266 orang, diikuti Indonesia (899), manakala Myanmar (297), Thailand (131), Vietnam (120), Filipina (95) dan lain-lain (698).

“Operasi dilakukan di kawasan membabitkan lima sektor yang memerlukan pekerja asing iaitu pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian.

“Antaranya seperti kawasan perumahan, tapak pembinaan, kilang, premis perniagaan dan kedai makan. Semua kawasan kita buat serbuan dan operasi penguatkuasaan,” katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Mustafar berkata, Jabatan Imigresen juga mengeluarkan sebanyak 245 Borang 29 (Saman Saksi) untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.

Beliau turut memberitahu ‘sejumlah’ pengawal keselamatan warga asing dalam sektor perkhidmatan yang ditahan dalam operasi kerana tidak memiliki dokumen yang sah.

Tambah Mustafar, operasi itu turut menyaksikan penahanan 75 majikan dan mereka akan didakwa di bawah Akta Imigresen di atas kesalahan menggaji Pati.

Pada Khamis, tiga majikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth atas tuduhan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah, dan kesemua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Pertuduhan terhadap tiga majikan ini dibuat selepas pekerja asing yang digaji mereka ditahan dalam Op Mega E-Kad bermula 1 Julai lalu susulan tamatnya tempoh pendaftaran E-Kad.

Program E-Kad yang dilaksanakan sejak 15 Februari lalu sehingga 30 Jun lalu berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah dan hanya melibatkan lima sektor ekonomi yang memerlukan pekerja asing.

Pada 1 Julai lalu, Mustafar dilaporkan berkata, hanya 23 peratus daripada sasaran 600,000 Pati di negara ini yang mendaftar di bawah program E-Kad.

Mengulas perkara itu, Mustafar berkata: “Kita tahu sasaran tidak tercapai kerana masih ada lagi kedegilan majikan-majikan yang tidak mendaftar E-Kad dan tempoh pendaftaran telah pun ditutup.”

Sehubungan itu, beliau menggesa majikan menggunakan ‘peluang’ yang lain dengan menyerahkan Pati yang berkelayakan untuk didaftarkan dalam Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati (Program Rehiring).

Mengikut rekod Jabatan Imigresen, seramai 439,294 Pati didaftarkan oleh 108,214 majikan untuk Program Rehiring dari 15 Februari 2016 sehingga 12 Julai 2017.

Dilaporkan, antara syarat yang perlu dipatuhi Pati ialah mempunyai rekod kemasukan asal secara teratur ke Malaysia iaitu mereka yang tinggal lebih masa atas Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan sedang bekerja dengan majikan yang sama.

Syarat lain ialah Pati berkenaan juga telah tinggal lebih masa atas PLKS dan sedang bekerja dengan majikan baharu dan Pati yang tinggal lebih masa atas Pas Lawatan (Sosial) dan sedang bekerja dengan majikan dan kesemua Pati berkenaan mesti bebas daripada rekod jenayah.

Selain Program Rehiring, Mustafar berkata, Jabatan Imigresen juga melaksanakan Program 3+1 bagi memberi peluang kepada Pati untuk menyerah diri secara sukarela dan pulang ke negara asal.

Beliau menambah, seramai 115,636 Pati memohon untuk Program 3+1 dari 4 Januari 2017 sehingga 13 Julai 2017.

“Sehubungan itu, saya menggesa semua Pati dan majikan berkenaan mengambil peluang-peluang ini sebelum tindakan undang-undang akan diambil,” tegas Mustafar sambil menambah bahawa kedua-dua program akan tamat pada 31 Disember ini.

Tags / Kata Kunci: Mustafar Ali , Pati , E-Kad

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan