Harapan Noor Batrisyia Pulih Pendengaran Kembali Bersinar - Berita Semasa | mStar

Harapan Noor Batrisyia Pulih Pendengaran Kembali Bersinar

Diterbitkan: Khamis, 13 Julai 2017 10:45 AM

Ahmad Zahid mendukung Noor Batrisyia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Seorang kanak-kanak dua tahun, Noor Batrisyia Ramlan, yang memerlukan implan koklea menerima sinar harapan apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan bantuan RM50,000 daripada seorang penderma.

Sebelum ini, kutipan derma telah dilaksanakan dan sumbang sebanyak RM67,000 berjaya diperolehi.

Namun jumlah yang diperlukan untuk pembedahan itu masih berkurangan RM120, 000.

Dr Ahmad Zahid berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Piasau, Datuk Sebastian Ting telah memaklumkan keadaan Batrisyia kepada beliau. 

“Beliau datang untuk meminta bantuan dan saya berjaya mendapatkan sumbangan daripada seorang penderma yang prihatin.

“Batrisyia perlu dirawat dengan segera. Jika ditangguh, risiko yang akan dihadapinya semakin tinggi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Ting, yang merupakan Pengerusi Persatuan Implan Koklea Sarawak, berkata, beliau akan berusaha mengutip sebanyak RM3,000 untuk melengkapkan jumlah kos pembedahan itu.

Menurutnya, proses rawatan akan dilakukan di Hospital Miri pada hujung bulan ini atau awal bulan depan, mengikut jadual doktor pakar.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menderma. Kami berjaya meraih sumbangan melalui akhbar, Facebook dan rakan-rakan,” ujar Ting.

Bapa Noor Batrisyia, Ramlan Abdul Hamid berkata, anaknya hanya mampu mendengar melalui telinga kirinya.

“Dia dilahirkan dengan keadaan begitu. Saya berharap selepas pembedahan itu, dia dapat mendengar sepenuhnya dan mula belajar bercakap," katanya.

Tags / Kata Kunci: implan koklea
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan