Pak Cik Shell Dedah Kisah Hidupnya

Diterbitkan: Khamis, 13 Julai 2017 8:58 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang warga emas yang tular dengan kisah murah hatinya semasa bertugas di stesen minyak baru-baru ini menyifatkan setiap kerja yang dilakukannya sebagai sumber rezeki dan kekuatan diri.

Hassan Basri Mohd Tara yang bakal menyambut ulang tahun ke-70 pada 24 Julai ini berkata, dia sejak dahulu melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara kehidupan bersama isteri dan lapan anaknya.

Katanya, antara pekerjaannya adalah di kilang di Johor pada usia 18 tahun, dan beberapa tahun selepas itu dia mencari pendapatan sampingan dengan menjual telur di pasar malam.

"Macam-macam kerja yang saya buat. Kerja kilang 30 tahun, itu di sebelah siang, pada sebelah malam saya jual telur. Saya menjual telur selama 26 tahun.

"Saya juga pernah mengusahakan gerai makan selama enam tahun dan menjadi tukang kebun di sekolah selama tiga tahun. Saya mula bekerja di stesen minyak Shell sejak 2011.

"Dulu orang panggil saya Pak Hassan Telur masa jual telur, bila jadi tukang kebun dipanggil Pak Hassan Bunga, sekarang orang panggil Pakcik Shell pula," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Lebih dikenali sebagai Pakcik Hassan, kakitangan di stesen minyak Shell di Taman Perling, Johor Bahru ini mula mendapat perhatian selepas mStar Online melaporkan kisahnya yang dikongsi seorang guru besar di Facebook.

Hassan Basri Mohd Tara.

Hassan berkata, dia bersyukur apabila anak-anak mengambil berat tentang dirinya malah mereka sering melarang dia bekerja lagi pada usia lanjut dan menasihatkan supaya berehat di rumah.

"Tapi saya rasa cepat penat kalau duduk saja. Mesti ada perkara yang saya mahu lakukan. Saya memang tak reti duduk diam.

"Itulah sebab saya mahu bekerja supaya badan jadi cergas dan kuat," katanya yang yang terkenal dengan kepakaran memasak seperti sup tulang gear box kambing kuah merah, dalca dan nasi briyani.

Menurut datuk kepada enam cucu ini, selain bekerja, dia turut melakukan aktiviti di masjid dan berjumpa dengan rakan-rakan bagi mengisi masa lapang.

Terdahulu, Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin, 34, yang merupakan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas, Pontian di Johor meluahkan mengenai kemurahan hati Pakcik Hassan yang sudi memberi duit raya selain mengajar tentang erti hormat kepada anaknya, Ammar Matiin, tiga tahun.

Ahmad Firdauz berpendapat bahawa Pakcik Hassan sesuai dijadikan sebagai model di stesen minyak berdasarkan keperibadiannya yang memberi inspirasi kepada masyarakat.

Cadangan itu susulan poster gadis Shell yang ditarik balik baru-baru ini disebabkan tindakan kurang sopan segelintir individu terhadap poster tersebut sehingga tular di media sosial.

Ditanya mengenai cadangan guru besar itu, Pakcik Hassan berkata, dia menerima dengan hati terbuka sekiranya mendapat tawaran daripada pihak pengurusan syarikat.

"Selagi ia bertujuan untuk kebaikan, sudah tentu saya menerimanya. Saya percaya ia dapat membantu mendidik masyarakat supaya hormat-menghormati," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Inilah ‘Pakcik Shell’

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/07/11/inilah-pakcik-shell/


Terima Kasih ‘Pakcik Shell’

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/07/10/pakcik-pemurah/

Tags / Kata Kunci: Shell , Pak Cik Shell , Pontian

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan