Awas! Jangan Tertipu Sindiket Pengeluaran KWSP

Diterbitkan: Selasa, 11 Julai 2017 9:56 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sindiket penipuan secara agresif menggunakan media sosial bagi memperdaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya membuat pengeluaran simpanan lebih awal daripada kelayakan mereka.

Sindiket ini menyasarkan pencarum yang terdesak untuk mendapatkan wang tunai dengan segera dan sebagai pulangan meminta komisyen antara 30 sehingga 60 peratus dari jumlah pengeluaran mereka. 

Malah mereka secara terang-terangan menggunakan logo KWSP di akaun media sosial mereka bagi meyakinkan mangsa.

"Ramai yang terdesak memerlukan wang. Bagi mereka yang mempunyai simpanan KWSP melebihi RM150,000, sila emel butiran peribadi anda kepada keluarankwsp@gmail.com.

"Kebebasan kewangan di tangan anda. Buat permohonan dengan kami dan permohonan anda dijamin lulus seratus peratus," menerusi satu iklan yang dimuat naik di Facebook.

Promosi seumpama itu banyak dikesan KWSP sejak kebelakangan ini.

Sindiket tersebut mendakwa ia boleh menyediakan sijil yang diperlukan antara lain untuk perumahan, pendidikan, ketidakupayaan dan kesihatan, bagi membantu pengeluaran simpanan dari KWSP sebelum mencapai kelayakan. 

Dipercayai sindiket itu bersubahat dengan beberapa kolej swasta dan pengamal perubatan bagi memalsukan dokumen berkaitan.

Malah sindiket berkenaan juga memaparkan beberapa testimoni palsu di laman sosial mereka bagi menunjukkan bahawa terdapat pencarum menerima bayaran bulanan daripada dana mereka.

Ia juga merekrut ejen secara terbuka di beberapa negeri termasuk Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, dengan menawarkan komisyen tinggi sekiranya berjaya mendapatkan pelanggan.

Bagaimanapun, penipuan itu tidak dapat menangani perlindungan keselamatan yang dilaksanakan KWSP.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, pihaknya mempunyai sistem yang komprehensif bagi memeriksa dan mengesan cubaan penipuan pengeluaran.

"Kita mahu memberi amaran kepada sindiket-sindiket ini bahawa kita mengesan penipuan mereka.

"Kita berharap pencarum tidak terpedaya menjadi mangsa tipu helah mereka. 

"Ini adalah wang hasil titik peluh anda untuk jaminan persaraan, jadi mengapa anda perlu serahkannya kepada sindiket?," katanya kepada The Star dalam satu temuramah baru-baru ini.

Beliau berkata, KWSP mempunyai jawatankuasa dalaman untuk memantau kes berkenaan secara dalam talian.

"Kita memantau kesemua mereka dan jika kita mengesyaki sesuatu, kita segera membuat laporan polis dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan," kata Mohd Naim.

Beliau menambah, pencarum yang layak perlu berhubung terus dengan KWSP kerana tiada sebarang caj dikenakan terhadap pengeluaran mereka.

Pada 2015, KWSP merekodkan 85 kes cubaan penipuan pengeluaran, diikuti 152 kes tahun lalu dan 63 kes setakat Jun tahun ini.

Tags / Kata Kunci: KWSP

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 6:51 PM

Sherry Ibrahim Tak Hilang, Masih Laris

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan