"Kami Dah Macam Keluarga Melayu"

Diterbitkan: Ahad, 9 Julai 2017 11:45 AM

(Ubah saiz teks)

DIA beragama Hindu, manakala isterinya pula beragama Kristian. Namun, bagi A.Mahayesan, 51, dia sudah biasa bergaul dengan masyarakat Melayu beragama Islam.

Kerana itu juga, sejak awal lagi dia menggalakkan kedua-dua anak lelakinya untuk berkhatan dengan cara tradisi masyarakat Melayu.

Baginya, berkhatan salah satu syarat untuk anak lelaki dalam keluarganya melangkah ke alam dewasa, selain melihat manfaat amalan wajib untuk kanak-kanak lelaki beragama Islam itu.

Kedua-dua anaknya, Tinesh, 16, dan Parthiven, 13, dikhatankan ketika mereka berusia 12 tahun dalam satu program berkhatan beramai-ramai di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, baru-baru ini.

Menurut Mahayesan, dia sendiri berkhatan ketika berusia 13 tahun dan hasratnya itu disuarakan kepada ibu bapanya yang ketika itu langsung tidak membantah.

“Pergaulan saya banyak dengan kelompok masyarakat Melayu.  Saya telah didedahkan dengan amalan bersunat sejak kecil lagi.

“Bila saya tahu kawan-kawan nak bersunat, saya terfikir kenapa saya tak buat sama. Jadi, saya beritahu ayah dan ibu dan mereka bersetuju. Paling nostalgia kerana saya telah disunatkan seorang tok mudim dan ia dilakukan di surau di kampung saya di Jasin, Melaka. Semuanya OK saja” katanya.

Menurutnya, hanya dia seorang sahaja dalam adik beradiknya yang bersedia untuk berkhatan ketika itu, manakala abang sulungnya pula baru setahun lalu melalui proses tersebut.

Katanya, pemahamannya tentang manfaat berkhatan yang diamalkan masyarakat Melayu semakin jelas apabila dia bekerja sebagai Pembantu Perubatan Kesihatan di Hospital Tuanku Ja’afar, sejak 23 tahun lalu.

“Sebagai seorang yang bekerja dalam bidang perubatan, saya tahu kebaikannya. Lagipun saya membesarkan anak dalam persekitaran masyarakat Melayu dan menghormati amalan mereka.

“Sebab itu saya suruh kedua-dua anak lelaki bersunat. Isteri saya juga memberi sokongan memandangkan ia juga merupakan amalan wajib dalam budaya keluarga isteri yang berketurunan Bidayuh, Selakau di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Asiah Anak Taok, 41, berkata, empat adik beradik lelakinya turut berkhatan, malah jika zaman dahulu, majlis meraikannya diadakan secara besar-besaran sebagai tanda kesyukuran.

“Sekarang majlis sebegitu jarang lagi diadakan dan jika mahu berkhatan anak-anak akan dihantar ke hospital atau klinik.

“Sebab itu bila suami beritahu nak sunatkan Tinesh anak lelaki pertama kami, saya langsung tak membantah sebab ia dah jadi amalan biasa dalam budaya masyarakat kami.

“Lebih menarik bila ada upacara berkhatan beramai-ramai, sekurang-kurangnya dapat hilangkan rasa takut kanak-kanak dan ia satu upacara menyeronokkan,” katanya yang mempunyai anak perempuan, Thurga Devi berusia 18 tahun.

Selain itu, salah satu keunikan keluarga Mahayesan ini adalah mereka lima beranak bertutur dalam bahasa Melayu di rumah.

Malah, Mahayesan berkata, perkataan seperti ‘jap’ (sekejap), ‘ntah’ (entah) dan ‘jom’ (mari) tidak lagi asing dalam pertuturan harian mereka sekeluarga.

Melihat raut wajah anak bongsunya, Parthiven juga saling tak tumpah seperti orang Melayu, lebih-lebih lagi percakapannya langsung tiada slanga seperti bangsa bukan Melayu.

“Orang cakap muka dia (Parthiven) macam orang Melayu Jawa. Sebab itu, kalau bulan puasa orang nampak Parthiven makan, mesti mereka cakap, dia ponteng puasa.

“Anak-anak saya pun ada keluarga angkat Melayu yang merupakan pengasuh Parthiven ketika dia masih kecil. Sehingga kini, hubungan kami rapat sehingga ahli keluarga pengasuh itu, Hairul Azman dah macam keluarga kami juga.

“Jika ada apa sahaja majlis keramaian, kami sama-sama datang meraikannya di kampung pengasuh itu di Gemas.

"Pada hari raya pula, tiga anak saya tak sabar nak balik dan tidur di rumah ‘nenek’ mereka di sana,” katanya.

Mahayesan berkata, dia merasa bertuah kerana hidupnya diwarnai dengan isteri berbangsa Bidayuh dan anak-anak mempunyai keluarga angkat Melayu.

Katanya, hubungan itu membolehkan dia memahami budaya dan agama kaum masing-masing tanpa ada tembok pemisah antara mereka yang berkongsi tanah air sama iaitu Malaysia.- Sinar Harian


Tags / Kata Kunci: Mahayesan , Thinesh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan