Ada Keperluan Wujudkan Satu Lagi Jawatan Timbalan KPN

Diterbitkan: Jumaat, 7 Julai 2017 1:58 PM

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan ada keperluan untuk mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara terutama dalam menangani ancaman keganasan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata selain itu, cadangan untuk mewujudkan semula Jabatan Antikeganasan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dilihat boleh memperkukuhkan dan memperbesarkan keanggotaan dalam unit keganasan itu dalam usaha menangani ancaman itu.

"Saya tidak menolak, tidak mengesahkan dan tidak mahu menafikan analisis yang dibuat melalui akhbar (berbahasa Inggeris) mengenai keperluan mewujudkan dua jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kerana sebagai Menteri KDN (Kementerian dalam Negeri) yang mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya PDRM, pengumuman hanya akan dibuat selepas mesyuarat (sama ada) mengesah atau menolak cadangan berkenaan.

"Walau bagaimanapun, memang terdapat keperluan untuk mewujudkan jawatan seorang lagi Timbalan Ketua Polis Negara dan mewujudkan semula Jabatan Antikeganasan kerana kita tahu ancaman keganasan bukan semakin berleluasa di rantau ini tetapi kita harus tahu PDRM perlu memperkukuhkan dan memperbesarkan lagi keanggotaan dalam unit keganasan ini dengan meningkatkan kepada taraf sebuah lagi jabatan dalam PDRM di Bukit Aman," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UmnoBahagian Batu Pahat di sini, Jumaat.

Mengenai calon yang akan dilantik bagi Timbalan Ketua Polis Negara yang kedua, katanya, pengesahan hanya akan dibuat setelah diluluskan oleh Suruhanjaya PDRM selain mendapat perkenan dari Yang Di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris tentang PDRM yang sedang melalui rombakan besar dan bakal melihat satu lagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan naik taraf Unit Antikeganasan kepada taraf jabatan.

Buat masa ini, unit berkenaan hanya mempunyai 200 anggota.  - BERNAMA  

Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid Hamidi , Timbalan KPN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan