Misi Keliling Dunia Sempena Kemerdekaan Ke-60

Diterbitkan: Khamis, 6 Julai 2017 10:21 AM

(Ubah saiz teks)

DEMI kecintaan pada tanah air, pasukan Pelayaran Julang Jalur Gemilang (PJJG) 2017, ada cara tersendiri untuk meraikan Malaysia di mata dunia.

Belayar mengelilingi dunia tidak melebihi 60 hari, sempena meraikan kemerdekaan negara kali ke-60 bakal menjadi hadiah paling manis bukan sahaja kepada sepasukan anak tempatan ini, tetapi lebih istimewa buat negara.

Ketua misi, Azhar Ariffin berkata, misi dijangka bermula awal September depan dengan menempuh 13 laluan sejauh 24,282 batu nautika.

Katanya, pelayaran akan menggunakan Bot Belacak sepanjang 45 kaki dan lebar 10 kaki, akan disertai 10 kru termasuk seorang kanak-kanak berusia 9 tahun, yang juga anak lelakinya.

“Matlamat kami meraikan Malaysia dengan cara tersendiri. Kita sudah lihat ramai kejayaan anak tempatan termasuk Datuk Azhar Mansor yang belayar solo, pasukan TLDM dengan KLD Tunas Samudera yang belayar mengelilingi dunia.

“Kita juga sudah sampai ke Gunung Everest, kita dah jelajah Kutub Utara dan Selatan. Kita sudah kibarkan Jalur Gemilang di angkasa. Pelbagai cara kita lakukan demi menempa nama di mata dunia. Ini cara kami untuk meraikan kemerdekaan negara,” katanya.

Sebelum ini, pasukan PJJG meraikan kemerdekaan negara dengan belayar mengelilingi negara menggunakan Bot Belacak, dan  mengedar Jalur Gemilang kepada masyarakat pantai sebagai tanda patriotisme.

Tahun ini, misi pelayaran diteruskan dari Tawau, Sabah ke Kuala Kedah, dijangka bermula 7 Ogos selama 20 hari.

“Ramai tak percaya kemampuan Bot Belacak sebelum kami membuktikannya dengan memulakan ekspedisi julang Jalur Gemilang ke seluruh negara pada 2009, 2010, 2012, 2013 dan 2015.

“Tahun ini kami mahu lakukan kelainan dengan mengibarkan Jalur Gemilang ke seluruh dunia, di samping cubaan mencipta rekod baru dunia dalam kategori motorized vessel’,” katanya.

Azhar berkata, mereka juga akan bersaing dengan pasukan Britannia dan Amerika Syarikat untuk mencipta rekod dunia.

“Kami sasar pelayaran selama 53 hari iaitu selama 1,272 jam termasuk 78 pit stop dengan melalui (dijangka) laluan utara melalui Gilbraltar.

“Rekod dunia kini dipegang pasukan Earthrace dari New Zealand yang belayar selama 60 hari, 23 jam dan 49 minit pada 2008 sejauh 23, 497 batu nautika,” katanya.

Menurutnya, ekoran kekangan bajet, pelayaran yang sepatutnya menggunakan bot berukuran 23 meter panjang terpaksa ditukar dengan bot berukuran lebih kecil iaitu 14 meter, namun mempunyai tangki petrol berkapasiti 11,000 liter.

PJJG mengubahsuai Bot Belacak yang digunakan pada misi pelayaran dari Perlis ke Sabah pada 2013.

“Bot Belacak yang diubah suai ini, menelan kos RM815,000 berbanding bot yang dicadang sebelum ini iaitu RM1.4 juta dengan kapasiti petrol sebanyak 25,000 liter.

“Namun, dengan kapasiti 11,000 liter bahan api, ia akan membolehkan bot bergerak dalam jarak paling jauh dari Honululu, Hawaii menuju Los Angeles (2, 215 batu nautika) untuk satu lagi cubaan rekod laluan trans-pasifik terpantas,” katanya.

Katanya, mereka mengubahsuai Bot Belacak yang digunakan pada misi pelayaran dari Perlis ke Sabah pada 2013.

Walaupun melalui liku-liku yang sukar untuk dapatkan penajaan, Azhar dan pasukan nekad meneruskan misi pada September depan.

Meskipun pasukan pelayaran dari Britain dan AS mempunyai bot dengan kelengkapan canggih dan mampu catat rekod memberangsangkan, Azhar yakin semangat pasukan akan terus membara untuk menempuh cabaran dan menamatkan misi dengan jaya.- Sinar Harian


Tags / Kata Kunci: Azhar Ariffin , belacak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan