Juara #gambarrareraya Risau Suami Cari Nombor Tiga

Diterbitkan: Khamis, 6 Julai 2017 8:00 AM

MESRA: Isteri pertama Mohd Fhairul, Nurul Hardrah Abu Kahar (kanan) dan isteri kedua, Siti Alizah Marsedeh.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hidup berpoligami mungkin nampak sukar, apatah lagi jika isteri pertama dan kedua tinggal bersama di bawah satu bumbung.

Namun situasi itu tidak menjadi beban bagi juara cabaran #gambarrareraya kerana bergambar bersama dua isterinya berwajah seiras yang tular baru-baru ini .

Mohd Fhairul Azizzy Ramli, 32, berkata, pada awalnya kedua-dua isteri minta agar tinggal berasingan tetapi mereka kemudiannya akur selepas dipujuk.

“Saya kata tak apalah kalau nak tinggal lain-lain, hari ini pergi rumah bini pertama, hari lain rumah bini kedua, harap tak melencong ke tempat lain, mungkin nombor tiga.

“Bini-bini saya bila dengar bukan main risau lagi. Jadi, mereka kata lebih baik tinggal serumah. Saya memang suka bergurau tetapi jangan salah faham sebab dua isteri saya tidur di bilik berasingan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Mohd Fhairul (tengah) bahagian bersama kedua-dua isterinya. 

Isteri pertama, Nurul Hardrah Abu Kahar, 31, tidak menafikan pada awalnya dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri hidup bermadu.

Namun anak kelahiran Segamat, Johor ini berkata, ia tidak bermakna hubungannya bersama madu tidak baik kerana suami banyak memberi sokongan dan bimbingan.

"Alhamdulillah, tak lama untuk saya biasakan diri sebab suami seorang yang adil dan bertanggungjawab. Jadi, kehidupan saya masih seperti biasa, bahagia juga seperti orang lain,” katanya yang sudah berkahwin dengan Mohd Fhairul selama lapan tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Sementara itu, isteri kedua, Siti Alizah Marsedeh, 20, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah bersyukur kerana madunya seorang yang memahami dan bertolak ansur.

“Mungkin orang kata takut nak jadi bini nombor dua, tapi saya perlu terima madu seadanya sekiranya mahu hidup bersama dengan suaminya.

“Kami dah anggap macam adik-beradik. Anak-anak dia sudah seperti anak saya sendiri,” katanya yang berkahwin dengan Mohd Fhairul hampir setahun lalu.

Walaupun bermadu, kedua-duanya kelihatan seperti adik-beradik.

Malah kata kedua-dua wanita ini, mereka sering menghabiskan masa bersama-sama sekiranya ada waktu terluang seperti membeli-belah dan membuat rawatan muka.

“Kemesraan kami berdua yang anda lihat di dalam gambar bukan dibuat-buat. Ada orang kata wajah kami seiras macam adik-beradik, ada juga kata kami macam pasangan kembar bila keluar pakai baju yang sama,” kata Nurul dan Siti Alizah yang lebih dikenali sebagai Wawa.

Ia diakui Mohd Fhairul dengan nada bergurau berkata: “Ingatkan bila dah tambah (isteri), ada ramai teman, tapi kena tinggal sebab dua-dua pergi ‘shopping’ dan salun.”

Pengusaha restoran ini berkata, antara kunci kebahagiannya adalah saling-memahami sambil berpegang kepada prinsip ‘jika mahu dilayan isteri sebagai raja, layanlah isteri seperti permaisuri’.

“Orang selalu bertanya adakah saya bahagia hidup berpoligami? Saya jawab, madu itu manis, tapi bermadu itu lebih terasa kemanisannya,” katanya. 

Artikel berkaitan: Apa Kata Lelaki Dua Isteri Ini Tentang Poligami?

Tags / Kata Kunci: #gambarrareraya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan