Gerak Dansa Daniel Lakar Sejarah

Diterbitkan: Rabu, 5 Julai 2017 1:13 PM

Muhammad Daniel Mohammed dan jurulatih Sylvia Yeoh beraksi dalam pertandingan Blackpool Dance Festival 2017 yang diadakan di The Winter Gardens, Blackpool, Lancashire pada Mei lepas. Daniel merangkul pingat juara bagi kategori A1 For All Single Dances dan A1 For Multi Dances bagi tarian Latin dan Ballroom, menewaskan lebih daripada 50 peserta dari seluruh dunia.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kecintaannya pada bidang tarian menjadikan bintang Muhammad Daniel Mohammed, terus menyinar, meskipun usianya hanya 17 tahun.

Mula menari sejak berumur 10 tahun, dia melakar kejayaan demi kejayaan dalam pertandingan yang disertainya di dalam dan luar negara.

Pencapaian terkininya, – memenangi A1 bagi Single Dances dan A1 bagi Multi Dances dalam kategori tarian Latin dan berdansa di Blackpool Dance Festival 2017 yang berlangsung di The Winter Gardens, Blackpool, Lancashire, England, pada Mei lepas.

Pelajar TIngkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 12 di Subang Jaya, yang berdansa bersama jurulatih tari Sylvia Yeoh dari Sylvia Yeoh Dance Academy dalam pertandingan itu, menerima medal dan sijil bagi kedua-dua kategori setelah mengalahkan lebih 50 peserta dari seluruh  negara.

“Selepas hampir tujuh tahun bekerja keras, ini kemenangan pertama yang saya capai di Eropah dan saya sungguh gembira kerana berjaya mengharumkan nama keluarga dan negara,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Daniel berkata percubaan pertamanya di Blackpool Dance Festival tahun lepas, juga pada bulan Mei, sekadar melayakkannya ke pusingan kedua. Dia juga gagal dalam pertandingan tarian kedua di Gatwick.

Remaja itu berkata dia menari di Taipan D' dance World, pada mulanya hanya untuk menurunkan berat badan, selepas melihat adik lelakinya Muhammad Adam, 15, begitu seronok dalam kelas tarian yang disertainya pada 2010.

“Ibu saudara saya Faizan Amron menyarankan ibu bapa saya supaya menghantar  Adam untuk mengikuti kelas tarian Latin oleh kerana dia amat gemar menari dan saya hanya menemaninya ke studio. Selepas melihat dia menari, saya dapati menari amat mengujakan dan menyeronokkan. Saya turut serta disebabkan berat badan saya … saya agak gempal sebelum ini, berat saya 80kg,” katanya.

Katanya pengetua sekolah tarian itu, yang melihat potensinya dalam bidang tarian, mencadangkan supaya dia mengikuti kelas berdansa dan dari situlah terhasil gandingan bersama adikya, Muhammad Adam, dalam A  and  D Brothers.

Kedua-dua beradik itu kemudiannya mengambil bahagian dalam pertandingan tarian, bermula dengan 17th Penang International Ballroom Dancing Championships kali ke-17 pada 2010.

Selain Blackpool Dance Festival 2017, Daniel turut meraih  kejayaan dalam beberapa pertandingan lain, di Indonesia, Taiwan, Sri Lanka dan Thailand, di samping Hong Kong Ballroom Dancers International Cup kali keenam pada April tahun ini.

Kata Muhammad Daniel: “Menerusi tarian, kita bukan sahaja menari tetapi turut belajar berhias diri, bersosial. cara untuk menarik perhatian penonton, ekspresi wajah dan lakonan.”

Muhammad Adam berkata dia akan mengambil bahagian dalam pertandingan tarian Latin di Pulau Pinang bulan ini selepas memenangi satu pertandingan di Singapura awal tahun ini.

“Sebelum ini, ada orang yang bertanya kami ‘Kamu menari? Kamu tak rasakah ia macam budak perempuan? Tapi saya selalu berkata bahawa kamu sepatutnya cuba (tarian)  Latin kerana ia akan menyerlahkan ciri-ciri  kelelakian yang ada pada kamu,” kata Adam.

Adam, yang belajar di sekolah sama dengan abangnya, berkata sekolah mereka juga mula menganjurkan banyak pertandingan tarian sebagai aktiviti kokurikulum, setelah mendapat inspirasi daripada kejayaan mereka.

Sylvia Yeoh berkata kedua-dua beradik itu kerap kali mengagumkan beliau sejak mereka menyertai akademinya tiga tahun lepas.

“Memang sukar untuk mendapatkan penari lelaki yang sangat berbakat dalam tarian Latin dan berdansa. Jadi, semasa mereka mula-mula menyertai kami, saya memikirkan cara untuk mempertingkatkan bakat dua remaja ini di peringkat lebih tinggi. Mereka tidak pernah menghampakan saya dan selalu memberi kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Yeoh berkata tahun ini, memandangkan kedua-dua mereka akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3), mereka perlu meminumkan latihan dan menguruskan masa dengan baik antara belajar serta menari.

“Saya sentiasa percaya bahawa usaha mengejar kejayaan dalam akademik dan aktiviti yang disertai boleh dicapai serentak berkat pengurusan masa yang betul dan sokongan daripada keluarga,” katanya.

Yeoh berkata beliau berharap kerajaan dan sektor swasta akan memperuntukkan dana atau penajaan kepada dua-dua beradik ini memandangkan mereka mempunyai potensi untuk muncul sebagai penari terkenal di persada antarabangsa.

“Bajet minimum bagi seorang penari untuk menyertai pertandingan antarabangsa termasuk kostum, tiket penerbangan, yuran pendaftaran, penginapan dan latihan boleh mencecah RM35,000. Kami berharap agar mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan Jalur Gemilang terus berkibar di Winter Gardens, Blackpool Hall yang berprestij, di England,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Amron, bapa dua beradik itu, berkata beliau berharap penajaan daripada kerajaan dan sektor swasta bagi tarian Latin dan berdansa boleh memberi motivasi serta menggalakkan lebih ramai daripada kalangan muda untuk menceburi bidang kesenian itu.

Beliau berkata kedua-dua anak lelakinya bercita-cita untuk membuka sebuah studio tarian bagi membolehkan mereka mendidik serta menanam minat terhadap tarian Latin dan berdansa di kalangan golongan muda Malaysia.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Daniel , Blackpool

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan