Najis Burung Jejas Periuk Nasi

Diterbitkan: Rabu, 5 Julai 2017 10:32 AM

Najis burung mencemari pemandangan di Pasar Borong Gong Pauh.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Menjijikkan! Itu perkataan yang boleh menggambarkan keadaan di kawasan jualan kuih di Pasar Borong Gong Pauh berikutan kawasan tersebut dipenuhi dengan tompokan najis burung di merata tempat.

Melalui tinjauan Sinar Harian, kira-kira 40 peniaga kuih di kawasan itu berhadapan keadaan persekitaran kotor setiap hari selain berdepan  kemerosotan bilangan pelanggan yang semakin berkurangan.

Sehubungan itu, rata-rata peniaga kuih meminta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil tindakan mengatasi masalah tersebut segera.

Mohd Yassin Osman, 50, yang mula berniaga sejak pasar tersebut mula-mula dibuka pada tahun 2002 berkata, tompokan najis begitu ketara sudah berlaku lebih dua tahun lalu sehinggakan menimbulkan rasa kurang selesa bukan sahaja kepada peniaga, bahkan kepada pengguna.

“Pembeli sudah makin lengang selepas najis burung yang boleh kelihatan di pelbagai tempat dan keadaan ini menjejaskan periuk nasi. Kita memang terasa dengan kedatangan pembeli yang semakin kurang kerana keadaan sekitar terlalu kotor.

“Kita harap bandaran ambil tindakan segera dengan memasang pukat sebagaimana di Pasar Chabang Tiga supaya burung tidak lagi datang berteduh dan membuang najis di pasar ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mohd Yassin berkata, dia difahamkan bahawa persatuan peniaga di pasar tersebut pernah membuat aduan kepada MBKT bagi mengatasi masalah itu namun sehingga kini belum ada jalan penyelesaian.

Mohd Yassin sedang melihat tompokan najis burung di merata-rata tempat.

Dia juga mengakui keadaan itu mendatangkan masalah kepada peniaga-peniaga selain terpaksa mendengar rungutan pengguna  seakan jijik dengan kawasan tersebut.

Mohd Yassin sedang melihat tompokan najis burung di merata-rata tempat.

Pasar Borong Gong Pauh dibuka setiap hari bermula jam 4 hingga 11.30 pagi yang turut mempunyai ruangan lain selain jualan kuih, iaitu bahagian sayur-sayuran, bahan mentah, dan barangan runcit yang diletakkan di ruangan berasingan antara satu sama lain.

Bagaimanapun ruangan di bahagian kerangka atap bangunan jualan kuih menjadi tempat perlindungan beratus-ratus burung ciok yang tidur di situ bermula pada waktu petang hingga pagi menyebabkan mereka turut mengotorinya dengan najis di merata tempat.

Jefri Mansor, 48, berkata, walaupun gerai jualannya tidak terkena najis tetapi jarak yang dekat dengan kawasan itu menyebabkan keadaan itu turut menjadi masalah kepada pihaknya.

Jelasnya, walaupun najis burung tidak mengeluarkan bau yang busuk namun najis yang kering dengan suasana persekitaran yang berangin boleh menyebabkan najis tersebar ke dalam makanan yang dijualnya.

“Kebersihan makanan tidak terjaga kerana kalau angin bertiup sudah tentu najis juga tersebar ke merata-rata tempat. Kita di sini tiada masalah kesihatan tetapi kalau pembeli  tidak tahulah,” katanya.

Bagi Mariam Salleh, 66, turut mengakui pembeli sudah semakin berkurangan ke kawasan jualan kuih dan berharap MBKT boleh pasang pukat atau cari penyelesaian lain dalam memberi keselesaan kepada peniaga dan pembeli.

“Apabila kita basuh, kemudian petang burung datang. Keadaan itu berlaku hari-hari. Saya mula berniaga jam 4 pagi pun masih ada burung. Memang tidak selesa, kalau pembeli datang tengok kotor, ada najis orang kurang nak beli,” katanya.

Sementara itu, penjual ikan, Mohd Ghazali Bota’ yang berniaga di kawasan berhampiran turut berharap ia dapat diatasi secara proaktif dalam masa sama turut berharap longkang di kawasan tersebut dapat diselenggara dengan baik kerana sering menimbulkan bau kurang enak.



Tags / Kata Kunci: Pasar Borong Gong Pauh

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan