Tiada Dendam Pada Ayah

Diterbitkan: Isnin, 3 Julai 2017 12:38 PM

Che Ku Zaimah sempat bermesra dengan Nurul Dahyatul Fazlinda dengan menyuap biskut.

(Ubah saiz teks)

KAMPUNG SEKAYU: Meskipun peristiwa terkena simbahan asid pada Ogos 2010 masih segar dalam ingatan dan kesan di wajahnya kekal sehingga kini, namun Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan tidak pernah menyimpan sekelumit dendam pada ayah kandungnya.

Remaja berusia 15 tahun itu menyifatkan Syawal kali ini begitu bermakna kerana mereka adik-beradik dapat meraikan semula Aidilfitri bersama ayah selepas tujuh tahun terpisah.

Berkongsi cerita, dia yang lebih mesra dipanggil Lin berkata, mereka berpeluang menyambut Aidilfitri di Kampung Kemat dan ayahnya sempat melihat keadaan wajahnya akibat terkena simbahan asid dalam kejadian tujuh tahun lalu.

“Biarpun terpaksa tanggung akibatnya sampai sekarang, saya tak pernah berdendam dengan ayah dan dah lama memaafkannya. Lagipun dia tetap ayah kandung saya sampai bila-bila. Dia yang bersusah payah cari rezeki, jaga saya masa kecil.

“Selepas kejadian, ini kali pertama kami berhari raya bersama di rumah setelah ayah dibebaskan lebih kurang dua bulan lalu. Sewaktu ayah ‘di dalam’, ada juga saya dan adik-beradik pergi ke sana untuk jumpa pada hari raya.

"Emak pun tak pernah halang kami adik-beradik jumpa ayah. Tambah menggembirakan bila ayah turut menyatakan hasrat untuk cari duit bagi merawat wajah saya ni,” katanya ketika ditemui, di sini, Sabtu.

Adik lelakinya turut terkena simbahan asid dan ketika kejadian dia berusia dua tahun.

Adik lelakinya turut terkena simbahan asid dan ketika kejadian dia berusia dua tahun.


Tambah Lin, dia juga masih menunggu bantuan pembedahan daripada kerajaan negeri sebagaimana dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ketika melawatnya pada tahun lalu bagi memulihkan parut di wajahnya.

Sementara itu, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 35, berkata, biarpun anaknya pernah melalui pengalaman tragis disimbah asid oleh ayah kandung sendiri, namun sebagai ibu, dia tidak pernah menghalang anak-anak berjumpa bekas suaminya itu.

Tambahnya, kisah lama biarkan berlalu apatah lagi hubungan seorang ayah dengan anak tidak akan terputus walaupun apa yang berlaku.

Katanya lagi, ayah kepada anak-anaknya itu juga telah menerima pembalasan atas perbuatan tersebut.

“Semua empat anak kami berusia antara 17 hingga 9 tahun dapat sambut raya bersama. Bagi saya, ini dapat eratkan hubungan ayah dan anak.“

“Saya sekarang tinggal di rumah mak (Minah Omar, 64). Bagi menyara keluarga, saya tolong jual sayur-sayuran di pasar pagi (Hari Giliran) di Bandar Kuala Berang. Saya juga berharap pembedahan wajah Lin dapat dipercepatkan,” katanya.

Untuk rekod, dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi 15 Ogos 2010, Lin bersama tiga ahli keluarga iaitu emak, nenek dan adik lelakinya melecur di beberapa anggota badan akibat terkena simbahan asid oleh ayahnya sendiri.

Lin yang ketika itu berusia 8 tahun cedera teruk sehingga terpaksa menerima rawatan hampir dua bulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.- Sinar Harian

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan