Nilai Kembali Polisi Longgarkan Syarat Lulus BM

Diterbitkan: Isnin, 3 Julai 2017 6:53 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan diminta membuat penilaian secara menyeluruh sebelum melaksanakan polisi memberi kelonggaran syarat kelulusan Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk lantikan kontrak Pegawai Perubatan UD41.

Pengerusi Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara (AKULN) Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan berkata, kementerian seharusnya mengambil kira maklum balas secara menyeluruh daripada pihak-pihak berkepentingan, termasuk rakyat Malaysia sendiri.

Keputusan itu boleh menjejaspemerkasaan Bahasa Melayu di negara ini, katanya.

"Saya percaya tindakan KKM ini bukan saja melemahkan kedudukan BM, malah ia (juga) akan menimbulkan rasa kurang yakin golongan muda dan graduan luar negara juga merasakan adalah OK untuk mereka tidak menguasai bahasa kebangsaan negara ini.

"Sewajarnya kita patut mencontohi negara-negara seperti China, Jepun atau Jerman yang masih lagi mengutamakan bahasa kebangsaanmasing-masing, walaupun graduan mereka belajar di luar negara," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kelonggaran itu untuk membolehkan graduan berkenaan menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib selama dua tahun tetapi perlu lulus Bahasa Melayu di peringkat SPM untuk lantikan secara tetap.

Mengulas lanjut, Wan Md Hazlin Agyl berkata, sekiranya masalah ini berpunca dari kekurangan doktor pelatih, KKM seharusnya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, serta badan-badan berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA bagi mengatasi masalah sedemikian. - BERNAMA  

Tags / Kata Kunci: lulus BM , Pegawai Perubatan UD41

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan