Lebih Bahaya Daripada Sianida

Diterbitkan: Isnin, 3 Julai 2017 10:43 AM

Pekerja memunggah bakul yang mengandungi ikan buntal di jeti Teluk Bahang.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jika dulu, para nelayan yang menangkap ikan buntal secara tidak sengaja pasti akan melepaskan semula ikan itu ke laut.

Ini kerana ikan daripada spesies Tetraodontiformes itu adalah beracun dan mengandungi tetrodotoxin, sejenis toksik yang amat berbahaya.

Kandungan toksik sebanyak 25 miligram daripada ikan buntal sudah mampu membunuh seorang individu dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Lebih menakutkan, tiada antidot bagi toksik ikan buntal dan dianggap lebih bahaya daripada sianida.

Namun kini, terdapat para nelayan yang sanggup menjual filet ikan buntal kepada pelanggan yang tidak mengetahui tentang bahaya yang ada pada ikan itu.

Filet ikan buntal dijual secara meluas di pasar-pasar sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak pada harga serendah RM18 hingga RM20 sekilogram, dengan label 'ikan kristal'.

Laporan eksklusif The Star mendedahkan, pelanggan membeli 'ikan kristal' kerana isi ikannya yang putih menjadi pengganti kepada ikan jenis lain yang ditawarkan pada harga lebih mahal.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna ikan buntal langsung tidak boleh dimakan kecuali pengasingan bahagian yang beracun dibuat dengan kemahiran yang tinggi.

Bahagian yang beracun adalah seperti hati, mata, telur, darah dan kulit.

Ikan buntal atau dikenali sebagai fugu di Jepun turut dijadikan hidangan makanan laut di sana, namun ia dijual di pasar dan restoran yang dikawal dengan ketat.

Seorang sumber memberitahu The Star bahawa buruh asing yang tidak begitu berpengalaman diupah untuk memotong ikan beracun itu yang dikenali sebagai buntal pisang.

"Pekerja-pekerja asing ini diberitahu untuk hanya memotong bahagian ekor ikan buntal, bawah abdomennya dan meninggalkan bahagian perut.

"Aktiviti menyiang ikan dibuat di pondok berhampiran jeti tempat menurunkan ikan," katanya.

Gambar ikan buntal yang sudah disiang.

Lebih membimbangkan, aktiviti penjualan ikan buntal tersebut sudah berkembang menjadi perniagaan yang menguntungkan.

Sekurang-kurangnya empat operator kapal pukat tunda di Pulau Pinang dan dua pula di Kedah terlibat dalam aktiviti menjala dan membekalkan fliet ikan buntal secara komersial, kata sumber tersebut.

Seorang pegawai Jabatan Perikanan berkata, tiada undang-undang diperuntukkan buat masa ini bagi menghalang sesiapa daripada menjual ikan buntal.

"Ikan buntal dianggap sebagai 'ikan sampah' (tiada nilai komersial) oleh Jabatan Perikanan. Ia tidak pernah ditangkap secara komersial mahupun dijual di pasar," katanya.

Beliau bersetuju bahawa perbuatan menjual ikan buntal itu dianggap sebagai tidak beretika dan tidak bertanggungjawab kerana risikonya yang boleh membahayakan pelanggan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan