Apa Jadi Selepas 'Tinggal' Di Balai Polis?

Diterbitkan: Sabtu, 1 Julai 2017 9:31 PM

Johan (dua dari kiri) di kawasan pembinaan di Kuala Lumpur. Dari kiri, penyelia keselamatan, Aharulazali Mohd Hanipah; pengurus operasi, Eric Tan dan Eric Chan, dan penyelia keselamatan, Simon Lim.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Johan Iskandar Dean Salter, 36, yang tinggal sementara di Balai Polis Setapak pada hari raya pertama tidak menyangka keputusan itu bakal mengubah hidupnya.

Ketua Polis Balai Setapak, Asisten Superitendan Wee Bee Seng memberinya makanan, duit poket dan membantu menempah sebuah bilik di hotel bajet berdekatan.

Malah, Bee Seng turut membantu Johan mencari kerja.

Johan kini bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan pembinaan dekat bandar.

“Saya merancang untuk menggunakan peluang ini demi membina hidup baru,” katanya.

Sebagai anak tunggal, hidup Johan berubah secara tiba-tiba apabila bapanya meninggal dunia pada 2001.

Keluarganya mempunyai sebuah resort di Kuantan, Pahang pada 90an dan ketika itu kehidupannya berjalan lancar.

Dia menerima ijazah dalam Katering dan Pengurusan Hotel serta ijazah Psikologi dari Universiti Oxford Brookes di England.

Bagaimanapun perniagaan keluarganya jatuh merudum selepas bapanya meninggal dunia.

Tidak lama kemudian, keluarganya hilang segala-galanya dan terpaksa menjual perniagaan mereka.

“Saya dan ibu tinggal di jalanan sehingga saudara mara memberi kami tempat tinggal,” kata Johan.

Namun keadaannya semakin teruk apabila ibunya pula meninggal dunia akibat kanser rahim pada 2015.

Dia kemudian bekerja sebagai penjaga pintu dan menjual snek di jalanan bagi menyara kehidupan.

Sejak dua tahun lepas, dia menjadikan masjid dan surau sebagai tempat tinggal sementara. 

Makanan pula diperoleh menerusi sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) ‘soup kitchen’ buat golongan gelandangan.

“Saya pernah terfikir untuk membunuh diri,” ujar Johan.

Bagaimanapun, dia kini mendapat semula semangatnya untuk terus menjalani kehidupan.

Menurut Johan, dia menumpukan untuk melakukan kerja dengan baik.

“Saya berharap untuk berkahwin suatu hari nanti. Itulah yang diingini ibu,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan