Awas Sindiket Curi Data!

Diterbitkan: Jumaat, 30 Jun 2017 9:25 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

GOMBAK: Hati-hati apabila anda diminta untuk mendedahkan butiran peribadi kerana ia mungkin akan berakhir di tangan sindiket pencuri data.

Seorang pesara mendapati dirinya telah berhutang bil pasca bayar walaupun tidak pernah memiliki telefon bimbit.

Liang Ngan Kan, 73, mendakwa beliau kini berhutang sebanyak RM1,800 dengan syarikat telekomunikasi selepas butiran peribadinya dieksploitasi oleh pihak tidak dikenali dengan cara mendaftarkan beberapa nombor pasca bayar, lewat tahun 2015.

Isterinya, Mariamah Anamalai, 62, dan kakak iparnya, Papati, 66, juga mula menerima bil walaupun mereka tidak mempunyai akaun dengan syarikat tersebut.

Anak perempuan Ngan Kan, Kasthuri, 32, terkejut orang seperti bapanya yang tidak mempraktikkan penggunaan telefon bimbit berdepan dengan caj tinggi perkhidmatan yang tidak pernah dilanggannya.

Beliau membuat laporan polis bagi pihak ibu bapanya dan ibu saudaranya, tetapi memutuskan untuk tidak membawa kes itu ke mahkamah.

"Kami membuat keputusan untuk mengabaikan bil-bil itu kerana banyak urusan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa saya yang sudah tua," kata Kasthuri kepada The Star semasa melawat keluarganya di sebuah flat kos rendah di Taman Prima Selayang, Batu Caves, baru-baru ini.

Ibu bapa dan ibu saudaranya hanyalah tiga daripada 15 orang dari kawasan kediaman yang sama yang membuat aduan tersebut.

Setiap mangsa mempunyai satu nombor prinsipal dan beberapa nombor tambahan yang didaftarkan di bawah nama mereka.

Arokiasamy Thomas, 86, membuat dua laporan polis selepas mula menerima bil pada pertengahan 2015.

Bil-bil itu yang tiba setiap bulan, telah membuatkan Arokiasamy 'berhutang' beribu-ribu ringgit.

Selama dua tahun, beliau menerima surat-surat agresif dan panggilan daripada agensi pengutip hutang, mengancam tindakan undang-undang terhadapnya jika gagal menyelesaikan tunggakan.

Mangsa lain juga menerima panggilan dan mesej yang sama.

Seorang lagi mangsa ialah ibu tunggal, Renukah Doraisamy, 40, yang berniaga di gerai di Taman Prima Selayang.

"Kebanyakan mangsa sama ada bersara, menganggur atau bergaji rendah.

"Mereka (pengutip hutang) selalu menghubungi kami. Ia menyebabkan kami mengalami banyak tekanan," katanya.

Mangsa berkata pelbagai organisasi akan datang ke kawasan perumahan kos rendah untuk memberi sumbangan, seperti beras dan peruntukan lain.

Untuk menerima barangan tersebut, penduduk terpaksa memberi salinan kad pengenalan mereka.

Mereka mengesyaki cara tersebut menjadi punca bagaimana maklumat peribadi mereka jatuh ke tangan orang yang salah.

Lapan daripada mangsa, termasuk Arokiasamy dan Renukah, telah membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 8 Jun.

Kes-kes tersebut telah diselesaikan.

Pembekal perkhidmatan mengesahkan bahawa pendaftaran untuk akaun pascabayar itu adalah tidak sah.

"Ini telah dikelaskan sebagai penipuan," wakilnya menulis dalam e-mel.

Pembekal perkhidmatan berkata pihaknya akan mengetepikan bil-bil yang belum dibayar untuk akaun tersebut.

Dalam satu temu bual, ketua penguatkuasa dan penyelidik SKMM Datuk Mohd Shafie Harun menyifatkan kes di Taman Prima Selayang dilakukan oleh 'sindiket yang didorong oleh keuntungan untuk mencuri data peribadi".

Tags / Kata Kunci: curi data , sindiket

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan