Isa Samad Dipanggil Ke SPRM Esok

Diterbitkan: Selasa, 20 Jun 2017 7:05 PM

Tan Sri Isa Samad

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merekodkan keterangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa Mohd Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid akan berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 10 pagi Rabu.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Mohd Isa dan lembaga pengarahnya mengarahkan  Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti bermula 6 Jun lalu.

Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti adalah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Susulan itu, SPRM juga memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat senaraian awam itu.

Pada 19 Jun, Mohd Isa meletakkan jawatan. Beliau 'berhenti daripada pelantikannya sebagai pengarah yang dilantik kerajaan untuk memberi perhatian kepada tanggungjawab peribadinya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berasingan berkata, kerajaan telah melantik Tan Sri Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta.

Tags / Kata Kunci: FVG , Felda , Isa Samad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan