Isu Cukai Pelancongan Selesai - TPM

Diterbitkan: Khamis, 15 Jun 2017 12:15 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perselisihan antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dan kerajaan Sarawak serta Sabah kini telah diselesaikan, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, isu itu telah dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu dan persetujuan telah dicapai bahawa tiada lagi kenyataan dikeluarkan berhubung perkara tersebut.

"Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan kami memutuskan bahawa isu tersebut telah selesai, dan tiada lagi kenyataan boleh dikeluarkan sama ada daripada pegawai kerajaan negeri atau persekutuan.

"Saya sendir bertemu dengan ketua menteri Sabah dan Sarawak pada Rabu. Isu ini telah ditutup dan mari kita buka buku baharu," kata beliau pada sidang media di sini.

Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa cukai pelancongan tetap akan dilaksanakan dan menjelaskan bahawa tugas mempromosikan pelancongan memerlukan dana.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas tentang kesan keputusan Sarawak untuk keluar daripada Lembaga Pelancongan Malaysia.

Isu terbabit timbul selepas Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah meminta Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan pelaksanakaan cukai pelancongan di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun Nazri menempelak Abdul Karim berhubung permintaan tersebut.

Sarawak kemudiannya mengumumkan keputusan berundur daripada Lembaga Pelancongan Malaysia dengan serta-merta, dan memberi sebab bahawa ia menyamai tugas dan fungsi Lembaga Promosi Pelancongan Sarawak.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan