Tiada Rakyat Malaysia Jadi Mangsa Serangan Di London - Wisma Putra

Diterbitkan: Ahad, 4 Jun 2017 1:29 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan ganas di London Bridge dan Borough Market, yang menyebabkan enam orang maut dan sekurang-kurangnya 20 cedera, termasuk seorang anggota polis.

Ketika mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan di sini, Ahad. Kementerian Luar berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan rapi mengenai perkara itu dengan pihak berkuasa tempatan.

Ia juga menasihati rakyat Malaysia yang tinggal di sekitar kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan memaklumkan tentang perkembangan terkini berhubung kejadian itu kepada masyarakat Malaysia yang tinggal di bandar raya berkenaan," kata kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan kecemasan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi suruhanjaya itu melalui talian +44 (0) 207 242 4308 atau emel di alamat mwlondon.kln@1govuc.gov.my.

Kementerian Luar juga menyampaikan perasaan simpati mendalamnya dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Ini serangan kedua di London selepas satu serangan berlaku di luar bangunan parlimen Britain pada Mac tahun ini.

Menurut laporan, dalam kejadian semalam, sebuah van merempuh pejalan kaki, manakala pengunjung bar dan restoran ditikam dengan pisau. Pegawai polis terserempak dengan tiga suspek lelaki dan menembak mati mereka di Borough Market. -- Bernama 



Tags / Kata Kunci: London Bridge

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan