Spinner Kayu VS Fidget Spinner

Diterbitkan: Sabtu, 3 Jun 2017 12:04 PM

Remy Azizi menunjukkan 'spinner kayu’ yang dihasilkannya mengunakan material kayu yang sama untuk membuat gasing tradisional Melayu ketika ditemui di bengkelnya di Bukit Rambai, baru-baru ini. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Pembuat gasing generasi keempat, Remy Azizi Abdul Karim berjaya menghasilkan 'spinner kayu' mengunakan material kayu yang sama untuk membuat gasing tradisional Melayu.

Remy Azizi, 37, yang juga merupakan ikon #Negaraku berkata, beliau mendapat ilham tersebut setelah mengkaji konsep permainan 'fidget spinner' yang hampir sama dengan konsep gasing tradisional.

"'Fidget spinner' berputar, begitu juga dengan gasing mengunakan konsep yang sama dan saya telah berjaya menghasilkan spinner daripada bahan tradisional iaitu kayu, berbeza dengan spinner moden diperbuat daripada campuran plastik dan keluli," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Remy Azizi yang terkenal dengan gelaran 'pendekar gasing' berkata walaupun telah mula menerima tempahan secara dalam talian, beliau masih berusaha memperbaiki mutu spinner kayu baik dari segi reka bentuk dan juga hiasan tambahan agar setanding dengan fidget spinner yang terdapat di pasaran.

"Spinner kayu yang saya hasilkan berfungsi seperti fidget spinner yang dijual di pasaran namun saya perlu membuat beberapa penambahbaikan agar memberi lebih kepuasan kepada pemain," katanya.

Remy Azizi berkata usaha inovasi tersebut dibuat bagi menarik generasi muda mendekati permainan tradisional gasing dengan menguna material kayu gasing seperti kayu jenis cengal, merbau dan lain-lain.

"Selari dengan perkembangan moden bagi memenuhi kehendak generasi muda saya mencipta spinner kayu bagi menarik mereka untuk berjinak-jinak dengan gasing tradisional memandangkan bahawa konsep permainan berasal dari barat itu hampir sama dengan permainan gasing dan mudah diterima oleh generasi muda," katanya.

Katanya beliau bercadang untuk menjual spinner kayu dengan harga RM25 hingga RM40 mengikut jenis kayu dan mereka yang berminat boleh menempahnya secara dalam talian di laman sosial Facebooknya 'Pendekar kayu pusing'.

"Saya terpaksa menjual dengan harga yang lebih tinggi daripada Fidget spinner yang terdapat di pasaran kerana ia adalah hasil kerja tangan dan bukan dihasilkan menggunakan mesin," katanya.

Wartawan Bernama diberi kesempatan mencuba spinner kayu yang dihasilkan Remy Azizi di bengkelnya yang terletak di Bukit Rambai dan terbukti ia mampu berfungsi dan setanding dengan Fidget spinner yang terdapat di pasaran.

Koleksi gasing Remy Azizi dijual serendah RM7 hingga RM300 bergantung kepada jenis gasing dan kayu yang digunakan untuk membuat gasing itu.

Bagi mendapatkan intipati kempen #Negaraku, sila layari www.negaraku.com


Tags / Kata Kunci: fidget spinner , gasing , spinner kayu , Remy Azizi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan