"Maaf Tiada Roti Canai, Tosai"

Diterbitkan: Khamis, 1 Jun 2017 10:04 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Masalah kekurangan pekerja menyebabkan restoran mamak dan India terpaksa menjalankan perkhidmatan 'layan diri'.

Ada di antara mereka juga terpaksa menghentikan penjualan makanan kegemaran rakyat tempatan seperti roti canai, tosai dan capati disebabkan masalah itu.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma) berkata kira-kira 10% daripada ahlinya sudah mula menjalankan perkhidmatan 'layan diri' di mana pelanggan perlu mendapatkan makanan mereka sendiri.

"Dia kawasan berhampiran ruang pejabat dan kompleks membeli-belah, kami sudah menjalankan konsep layan diri. Pekerja kami akan menyenduk nasi untuk pelanggan yang akan mengambil sendiri makanan mereka dan pergi ke kaunter pembayaran," kata Presiden Presma, Ayoob Khan Muhamad Yakub kepada The Star pada Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata restoran nasi kandar masih belum melalui fasa ini.

"Di restoran nasi kandar, kami mencampurkan kari untuk pelanggan kerana ia salah satu tarikan utama," kata Ayoob.

Beberapa restoran mamak turut berhenti menjual roti canai atau tosai setiap hari dan memilih untuk menawarkan makanan itu pada tempoh tertentu.

"Walaupun konsep layan diri membantu, ia tidak menyelesaikan isu kekurangan pekerja. Kami masih memerlukan pekerja untuk membersihkan dan menyediakan makanan," kata Ayoob.

i USJ Subang Jaya dan Bangsar, rangkaian restoran Sri Nirwana Maju turut menggantung papan tanda bahawa mereka sudah berhenti menawarkan roti canai, tosai dan capati kerana kekurangan pekerja.

Seorang pekerja restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Amutha berkata walaupun terdapat permintaan yang menggalakkan terhadap makanan itu semasa sarapan pagi dan minum petang, mereka tidak menang tangan untuk mengambil pesanan pelanggan.

"Kami tidak boleh memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan kerana kekurangan pekerja, jadi kami mengambil keputusan untuk menghentikan menu tersebut," katanya.

Amutha berkata setiap rangkaian restoran itu mempunyai kira-kira 30 pekerja.

"Namun kami beroperasi dengan hanya 15 dan 17 pekerja di setiap restoran," katanya.

Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) T. Muthusamy berkata masalah kekurangan pekerja turut menyebabkan beberapa restoran ditutup.

Katanya, restoran milik beliau di Klang telah menghentikan beberapa hidangan seperti tandoori kerana masalah itu.

"Buat masa ini, kita ada seorang pekerja untuk melayan pelanggan di kaunter makanan," katanya.

Tags / Kata Kunci: restoran mamak , roti canai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan