Pengusaha Kuih Tradisional Raih Pendapatan Lumayan

Diterbitkan: Khamis, 1 Jun 2017 8:00 AM

Nik Faizah (kiri) melayan pelanggan yang datang membeli kuih di rumahnya di Jalan Merbau pada Rabu. foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Pengusaha kuih tradisional negeri ini meraih pendapatan lumayan berikutan permintaan tinggi terhadap juadah berkenaan sepanjang Ramadan ini.

Kuih muih seperti buah tanjung, jala mas, cek mek telur, akok, pauh dilayang dan kuih tahi itik, menjadi pilihan umat Islam sebagai juadah berbuka puasa.

Juadah tersebut kini mudah diperoleh daripada peniaga di bazar Ramadan di seluruh negeri ini atau terus mendapatkannya daripada pengusaha kuih muih tersebut.

Malah, perusahaan kuih muih tersebut menjadi sumber pendapatan utama kepada keluarga Nik Faizah Nik Abdul Rahman, 63, di sini, yang mampu meraih jualan kira-kira RM3,000 sehari.

Beliau yang merupakan generasi ketiga mengusahakan kuih muih tersebut, mendapat tempahan dua kali ganda pada bulan Ramadan ini, berbanding bulan biasa daripada individu dan pelbagai pihak lain.

Kuih jala mas.

Beliau berkata bahan utama yang digunakan dalam kuih muih tersebut yang terkenal dengan rasa manisnya, adalah telur ayam serta gula dan sesetengahnya mengambil masa agak lama untuk siap seperti kuih tahi itik.

"Untuk kesemua kuih berkenaan, saya menggunakan kira-kira 2,000 telur ayam sehari dan ada jenis kuih seperti jala mas hanya menggunakan telur kuning seratus peratus manakala telur puteh digunakan untuk kuih lain seperti kuih tahi itik," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Jalan Merbau di sini.

Beliau berkata resipi bagi membuat kuih tersebut diwarisi daripada Allahyarham neneknya Nik Fatimah Nik Ibrahim yang mengusahakan kuih muih itu sejak 1940-an.

"Kuih tradisional seperti buah tanjung, jala mas dan cek mek telur pada masa itu merupakan juadah manis hidangan istana, tetapi nenek saya juga menerima tempahan daripada masyarakat yang ingin menikmati juadah tersebut," katanya.

Nik Faizah bersama anggota keluarga dan 20 pekerja mula menyediakan kuih muih berkenaan selepas solat Tarawih dan menjual kepada pelanggan seawal 7 pagi keesokan hari. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: kuih tradisional

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan