Nikah Menjelang Ramadan, Trend Atau Berkat?

Diterbitkan: Rabu, 31 Mei 2017 8:00 AM

Maryam Kamilah dan Yasir Khan tarikh menjelang Ramadan bagi melangsungkan perkahwinan mereka.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jika dahulu hujung minggu sepanjang cuti persekolahan cukup sinonim dengan musim 'kenduri kahwin', namun kini trend itu bagaikan tidak relevan lagi.

Pelbagai faktor yang diambil kira oleh pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dalam memilih tarikh untuk hari paling bersejarah dalam hidup mereka.

Malahan, ada pasangan yang memilih padanan tarikh yang 'cantik' atau simbolik, bersesuaian dengan tarikh penting dalam hidup mereka.

Tidak ketinggalan, ada juga yang menunggu masa yang sesuai untuk semua sanak-saudara dapat berkumpul.

Lain pula kisahnya bagi Penolong Pengurus Tanggungjawab Sosial Korporat di sebuah bank terkemuka negara, Maryam Kamilah Zainol, 27 yang memilih untuk melangsungkan perkahwinan dua minggu menjelang Ramadan.

Katanya, dia beruntung kerana mempunyai keluarga yang memahami dan tidak menentang keputusannya untuk mengadakan majlis perkahwinan pada tarikh tersebut dan ia diadakan secara kecil-kecilan.

"Pada mulanya kedua-dua ibu bapa saya tidak bersetuju memandangkan saya anak bongsu dan abang serta kakak pula mengadakan majlis perkahwinan yang besar sebelum ini.

"Namun, saya berjaya meyakinkan keluarga bahawa saya ingin mengadakan majlis perkahwinan dengan menggunakan wang sendiri yang hanya dihadiri oleh saudara mara terdekat dan teman rapat," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Maryam Kamilah dan pasangannya Yasir Khan, 30, cuma menjemput seramai 400 tetamu dan membelanjakan sekitar RM25,000 pada hari perkahwinan mereka.

Tambah Maryam Kamilah, selain ingin menyambut Ramadan bersama suami, sebab utama dia memilih untuk berkahwin dua minggu sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa kerana berpandangan perkara yang baik tidak perlu dilambat-lambatkan.

Sementara itu, bagi Anis Ezzati Mohd. Redzwa, 26, dan suaminya Masheri Sofian, 25, yang turut melangsungkan ikatan perkahwinan dua minggu sebelum Ramadan tiba, mereka tidak mempunyai alasan tertentu untuk berbuat demikian.

Anis Ezzati (empat dari kiri) bergambar bersama suami, ibu bapa dan dua adiknya selepas selamat diijabkabulkan baru-baru ini.

Kata Anis Ezzati, dia mengenali suaminya dalam tempoh yang singkat dan terus merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat.

"Saudara-mara yang berkahwin sebelum ini mengambil masa setahun untuk merancang dan mencari tarikh yang sesuai bagi melangsungkan hari bahagia mereka.

"Namun, keluarga saya dan suami sepakat untuk tidak melengahkan majlis ini dan kami mengambil masa hanya lapan bulan untuk membuat persediaan," katanya.

Tambah anak sulung daripada tiga beradik itu, faktor luaran yang membuatkan dia dan suami memilih tarikh tersebut adalah disebabkan tiada kekosongan tarikh lain yang boleh ditempah untuk melangsungkan majlis di dewan yang mereka pilih.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah S.A.W dan ibadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

Katanya, waktu yang paling afdal untuk melangsungkan perkahwinan adalah pada Syawal berdasarkan sebuah hadis yang diceritakan oleh isteri Rasulullah S.A.W, Aisyah R.A.

Hadis tersebut bermaksud: "Rasulullah S.A.W menikahi aku di bulan Syawal, dan membangun rumah tangga denganku pada bulan Syawal pula. Maka isteri-isteri Rasulullah S.A.W yang manakah yang lebih beruntung di sisinya dariku?”

"Aisyah R.A dahulu suka menikahkan kaum wanita di bulan Syawal,” petikan hadis riwayat Muslim.

Jelas Mashitah, kini terdapat pelbagai kekangan yang menyebabkan pasangan memilih untuk melangsungkan pernikahan mengikut tarikh pilihan masing-masing.

"Sekarang ini, tempahan dewan semuanya penuh pada Syawal. Jadi ramai yang memilih untuk melangsungkan pernikahan pada Syaaban (sebelum Ramadan).

"Pada saya, ia tidak menjadi masalah jika hal itu lebih memudahkan mereka dan perkara yang baik hendaklah disegerakan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Tags / Kata Kunci: Ramadan

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan