Enam Dari The Star Diambil Keterangan

Diterbitkan: Rabu, 31 Mei 2017 10:12 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima pengarang kanan dan seorang jurugambar The Star  telah diambil keterangan mereka oleh polis di Bukit Aman.

Kesemua mereka memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan terhadap muka depan dan reka letak akhbar tersebut pada Sabtu lalu.

Antara mereka yang disoal siasat adalah Pengarang Pakar, M.Shanmugam, Pengarang Eksekutif Dorairaj Nadason, Rozaid Abdul Rahman, Brian Martin dan Errol Oh serta jurugambar Mohd Sahar Misni.

Mereka tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi.

Polis mengambil masa selama tiga jam untuk mengambil keterangan mereka.

Keenam-enam mereka ditemani peguam Amer Hamzah Arshad dan New Sin Yew.

Sebelum itu, Ketua Pengarangnya, Datuk Leanne Goh Lee Yen dan Dorairaj masing-masing digantung tugas.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah membuka kertas siasatan terhadap akhbar tersebut mengikut Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Jelas Khalid, kertas siasatan dibuka terhadap akhbar itu selepas banyak laporan polis diterima pihaknya.

Pada Isnin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tempoh tujuh hari kepada The Star untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 termasuk digantung permit penerbitan.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, kementerian berasa amat dukacita berhubung penyiaran gambar dan tajuk pada muka depannya yang tidak sesuai.

Tags / Kata Kunci: The Star , Bukit Aman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan