Amaran JPJ Menjelang Aidilfitri - Berita Semasa | mStar

Amaran JPJ Menjelang Aidilfitri

Diterbitkan: Selasa, 30 Mei 2017 10:21 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan tindakan keras terhadap mana-mana pengusaha bas ekspres yang tidak sediakan pemandu kedua sepanjang Ops Selamat sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nadzri Siron berkata, bagi mengurangkan jumlah kemalangan, pihaknya akan mengenakan sekatan pemeriksaan ke atas bas ekspres, terutama sekali bagi memastikan terdapat dua pemandu berada dalam sesebuah bas ekspres.

"JPJ mensyaratkan perlu ada dua pemandu yang boleh memandu secara bergilir sepanjang perjalanan mereka. Ia adalah untuk menjamin keselamatan penumpang agar selamat sampai ke destinasi masing-masing," katanya kepada Oriental Daily.

Menurut Nadzri, JPJ kadang-kala mendapati selepas bas-bas ekspres ini selesai diperiksa, salah seorang daripada dua pemandu akan turun di pertengahan jalan.

"JPJ akan ketatkan penguatkuasaan dengan melakukan sekatan jalan raya secara mengejut ke atas syarikat bas ekspres yang cuba mengambil kesempatan daripada kelonggaran undang-undang.

"Sekiranya kami mendapati hanya ada seorang saja pemandu di dalam perjalanan, bas ekspres berkenaan akan diarahkan berhenti daripada meneruskan perjalanan dan dikenakan notis saman," katanya.

Menurut beliau, Ops Selamat 10 yang dilancarkan pada Tahun Baharu Cina tahun ini telah mencapai hasil yang memuaskan apabila berjaya menurunkan kes kemalangan membabitkan kematian kepada 23 peratus.

Pada tahun lalu, sebanyak 512,466 kes kemalangan dicatatkan sepanjang tahun lalu di seluruh negara dengan jumlah kematian sebanyak 6,674.- Sinar Harian


Tags / Kata Kunci: JPJ , Aidilfitri , Ops Selamat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan